Pemandu Grab Singapura, Candy McDonald atau dikenali sebagai Lim Siew Peng, dijatuhi hukuman penjara empat hari kerana mengupah pihak ketiga bagi bertanggungjawab atas kesalahan jalan raya yang dilakukan.
Candy, 51 didenda SGD2,500 (RM8,374) dan tidak dibenarkan memandu selama 15 bulan bermula 1 November.
Wanita berkenaan membayar SGD10,000 (RM33,494) kepada Koh yang juga rakannya dan pemilik syarikat kereta sewa, Koheng Auto.
Oleh kerana tidak dapat mencari ‘kambing hitam’, Koh terpaksa menggunakan isterinya bagi bertanggungjawab atas kesalahan memandu melawan arah untuk memotong kenderaan lain pada 16 Mei 2020 yang dilakukan oleh Candy.
Dia mengelak kenderaan arah berlawanan dan memaksa pemandu kenderaan yang sedang memotongnya untuk menekan brek bagi mengelak melanggar belakang keretanya. Ketika kejadian dia membawa penumpang dan menggunakan kereta sewa syarikat Koh.
BIMBANG DEMERIT ENAM MATA
Pada Jun 2020, Koh menerima surat saman polis yang menyatakan kereta sewanya melakukan kesalahan jalan raya. Penalti yang disenaraikan ialah denda di luar mahkamah sebanyak SGD200 (RM670) dan enam mata demerit.
Apabila Koh memaklumkan kepada Candy tentang surat itu, dia mengakui kesalahan namun enggan bertanggungjawab bimbang lesennya akan dibatalkan dan kerja sebagai pemandu Grab akan terjejas.
Selepas perbincangan antara Koh, Candy bersetuju membayarnya secara ansuran mingguan sebanyak RM670 sebagai pertukaran mencari pak sanggup.
Koh kemudian menggunakan akaun korporat firmanya untuk menyerahkan butiran isterinya kepada polis trafik.
Koh kemudian membayar denda itu menggunakan nama isteri di bawah akaun syarikat apabila dia menerima surat saman tanpa pengetahuan wanita berkenaan.
Bayaran ansuran wang yang dipersetujui mula dibayar Candy pada Julai 2020 dan kemudian dia membayar langsam sebanyak SGD3,000 (RM10,048) pada Ogos dan Oktober selepas menerima bantuan pemandu e hailing akibat pandemik.
Bagaimanapun, Candy mengaku kesalahannya pada 14 Januari 2021 namun pihak mahkamah tidak menyatakan alasan dia berbuat demikian kepada pihak polis.