“Tengok nombor plat baru sedar anak kemalangan,” pemandu ambulans sebak

1404

Seorang pemandu ambulans sebak apabila melihat anak sendiri terbaring kaku di atas jalan selepas terbabit dalam kemalangan di simpang kilang sawit di KM38 Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu, petang semalam.

Mohd Taqwa Ismail, 49, yang bertugas sebagai pemandu ambulans di Klinik Kesihatan Sungai Tong berkata tidak menyangka mangsa kemalangan dalam kejadian itu adalah anaknya.



Dalam kejadian itu, Muhammad Aiman Mohd Taqwa, 21, kakitangan Unit Landskap Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu terlibat dalam kemalangan jalan raya selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah lori kira-kira jam 4.30 petang.

Taqwa berkata, dia mendapat panggilan meminta untuk mengambil mangsa kemalangan di lokasi kejadian dan kemudiannya dihantar ke Hospital Setiu.

“Namun apabila sampai di situ, saya macam kenal motosikal itu dan apabila tengok nombor plat motosikal baru sedar rupanya anak sendiri menjadi mangsa kemalangan.

“Sejak saya bertugas menjadi pemandu ambulans kira-kira 21 tahun lalu, ini pengalaman pertama terpaksa berdepan situasi membabitkan ahli keluarga sendiri.

“Jujurnya hanya Allah sahaja yang tahu perasaan sedih saya ketika itu walaupun pernah mengambil mangsa kemalangan lagi serius tapi tidak terlalu beremosi seperti ini,” katanya.

Dia berkata Aiman baru sahaja lima bulan bekerja di TTI dan kerap berulang-alik dari tempat kerja dan pulang ke rumah di Sungai Tong.

“Selalunya Aiman bawa bekal ke tempat kerja tetapi semalam dia berjanji mahu pulang untuk makan petang bersama saya di rumah,” jelasnya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan muka.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, Muhammad Aiman yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan di depannya tetapi gagal. Lalu bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan,” katanya.

Afandi berkata, pemandu lori berusia 30 tahun yang dalam perjalanan ke Hulu Terengganu dari Kok Lanas, Kelantan tidak mengalami sebarang kecederaan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here