Imej yang menunjukkan himpunan kenderaan mewah dan supercar ini satu pandangan biasa di Dubai bahkan kawasan berkenaan digelar sebagai ‘kubur supercar’.
Jika di negara lain model supercar merupakan kereta mewah dan sukar dilihat di jalanan apatah lagi tersadai begitu sahaja. Namun di Dubai, kenderaan mewah tersadai masih dalam keadaan baik.
Di Dubai, anda boleh memperoleh £30,000 (RM160,852) setahun dengan hanya mencari supercar yang ditinggalkan pemilik. Menurut Gulf News, setiap tahun sebanyak 2,000 hingga 3,000 kereta dibuang oleh pemilik.
Dubai perlu menangani masalah lebihan kereta mewah ini bahkan ia menjadi wabak yang menjadi tajuk utama antarabangsa seluruh dunia.
CRAZY RICH DUBAI HANYA MITOS
Selama ini kita menyangka dengan kuasa membeli tinggi membuatkan rakyat Dubai yang kaya raya ini tidak ‘bersyukur’ dan mati rasa dengan harta yang dimiliki sehingga meninggalkan kereta mahal apabila bosan dan mendapatkan yang baru.
Itu mitos sebaliknya situasi berkenaan berkaitan dengan demografi ekonomi Dubai. Lebih 90 peratus daripada penduduk Dubai adalah ekspatriat (warganegara yang tinggal/bekerja di negara selain) yang bekerja mahupun membina perniagaan di negara tersebut.
Kebanyakan kenderaan yang ditinggalkan adalah milik golongan ini yang kebanyakannya adalah warga British dengan harapan mendapat pekerjaan dengan gaji lumayan.
Sebaik mereka mula menjana pendapatan, membeli kenderaan mewah berada dalam senarai teratas. Tambahan, harga kereta di Dubai adalah murah kerana tiada cukai.
Dengan pendapatan purata RM25,000 sebulan di Dubai membolehkan individu memiliki kenderaan mewah. Namun, kayu ukur menandakan kemewahan sesebuah keluarga di Dubai apabila memiliki deretan kereta sport dan mewah.
Jika hanya memiliki satu, itu bermakna anda masih belum cukup kaya. Namun, langit tidak selalunya cerah, apabila golongan ini mula bergelut dengan kos sara hidup ataupun perniagaan mula bermasalah mereka meninggalkan Dubai.
Golongan ini juga tidak terkecuali dengan undang-undang ketat Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkaitan pembayaran hutang.
UAE mempunyai undang-undang yang sangat ketat mengenai hutang, baru-baru ini peminjam boleh dipenjarakan kerana gagal membayar pinjaman.
Mereka yang membeli kereta mewah menerusi pinjaman tiada pilihan selain meninggalkan Dubai apabila kehabisan wang tunai.
BERAKHIR DI KUBURAN
Kebanyakan pemilik akan meninggalkan kenderaan mewah mereka di lapangan terbang ketika melarikan diri.
Apabila pihak berkuasa Dubai menemui kenderaan yang terbiar mereka akan mengeluarkan notis kepada pemilik melalui mesej. Kenderaan akan disita jika tiada respons dalam tempoh 15 hari.
Selepas itu, supercar mahupun kereta sport tersebut akan berakhir di salah satu ‘kuburan’ kereta mewah.
Di kawasan kubur supercar berkenaan ada yang masih dalam keadaan baik dan tidak perlu diperbaiki selain mengalami kerosakkan akibat kemalangan.
Selain itu, komponen kereta yang masih elok misalnya enjin mahupun lampu Ferrari akan ditanggalkan untuk dijual kerana nilainya yang tinggi.
Kenderaan yang masih bagus akan dijual secara lelong yang mana anda boleh mendapati sebuah Ferrari pada harga RM50,000.
Oleh itu, ada antara agen yang datang dari luar negara membeli puluhan kereta pada harga murah dan dijual semula di negara mereka.
VIDEO