Gara-gara tidak sabar dan bersikap menjengkelkan, pemandu trak pikap berdepan denda THB100,000 (RM12,689)) kerana mengganggu gajah liar di Taman Negara Khao Yai, wilayah timur laut Nakhon Ratchasima, Thailand.
Kejadian yang berlaku Jumaat lalu itu dikongsi di Facebook dan saluran YouTube, “Haiwan Liar di Khao Yai (สัตว์ป่าเขาใหญ่)” yang menunjukkan sikap pemandu berkenaan cuba memprovokasi seekor gajah liar.
Pemandu tersebut mendekati gajah berkenaan dan tidak menghentikan kenderaan sebaik melihat haiwan berkenaan bagi memberi laluan seperti yang disarankan pihak berkuasa.
Tindakan itu membuatkan gajah tersebut marah sehingga mengeluarkan bunyi kuat. Lelaki itu kemudian menghentikan kenderaan lalu membuka pintu bagi merakam gambar gajah itu sebelum pergi.
Video yang tular itu membuatkan netizen Thailand tidak berpuas hati dan menyelar tindakan pemandu yang melanggar undang-undang jalan raya bahkan berharap haiwan berkenaan menyerang lelaki tersebut.
Ketua Taman Negara Khao Yai, Chaiya Huayhongthong berkata pemandu tersebut melanggar Seksyen 20 Akta Taman Negara yang menyatakan bahawa pengunjung perlu mematuhi arahan dan saranan renjer hutan.
Tambahnya, mereka yang melakukan kesalahan tersebut berdepan bayaran denda sehingga RM12,689.
Menurut laporan stesen penyiaran Channel 7, pemandu itu menyerah diri kepada polis dan membayar sejumlah denda yang tidak didedahkan.
Chaiya memberi amaran kepada pengunjung agar tidak melakukan perkara sama apabila berdepan dengan gajah mahupun haiwan liar lain di taman berkenaan.
Beliau menyarankan pemandu menjaga jarak sekurang-kurangnya 30 meter, tidak membunyikan hon atau membuat bising, matikan lampu, bergerak ke belakang perlahan-lahan dan jangan cuba menghalau haiwan itu.
Chaiya berkongsi orang ramai boleh mengenalpasti emosi gajah dengan melihat telinga dan ekornya. Jika telinganya mengepak dan ekornya naik kaku, ini bermakna gajah tidak berada dalam mood yang baik.
VIDEO