Penampilan sulung Perodua Myvi G3 dalam perlumbaan S1K hujung minggu ini

1476

Perlumbaan enduran Sepang 1000KM (S1K) begitu sinonim dengan pasukan Proton R3 dan tidak pernah lagi model King menyertai perlumbaan berkenaan.

Namun, tahun ini bakal berbeza apabila Perodua Myvi generasi ketiga bakal membuat kemunculan pertamanya dalam S1K.



JV Motosport rasmi melancarkan pasukan lumba mereka yang bakal bersaing hujung minggu ini dalam kelas SP2 iaitu kategori stok pengeluaran.

Pengenalan pasukan JV Motorsport Racing Team S1K (2022) itu diadakan di 204 Autoworks, Puncak Alam bersama pelumba pasukan iaitu Fariqe Hairuman, Faiz Sulaiman dan Syafiq Rosli.

Perodua Myvi G3 berkenaan menggunakan warna seragam lumba kelabu dan kemasan grafik jalur hijau dan merah sepanjang badan hatchback berkenaan. Bahagian lampu kabus ditanggalkan lalu diganti dengan lubang aliran udara ke roda depan. 

Myvi tersebut dilengkapi dengan tayar Yokohama Advan Neova AD08 R bersaiz 195/50R15. Sementara brek depan menggunakan angkup empat omboh dari Brembo yang dibekalkan NThree.

Sementara, janakuasa menggunakan enjin asal 1.5 liter dual VVT-i dengan output 102hp dan tork 136Nm bersama kotak gear automatik 4-kelajuan standard. 

Pasukan menerima sokongan yang menggalakkan daripada JV Auto Lube serta rakan kongsi lain seperti DMM Performance, 204 Autoworks, Motor Addict Autohaus, Ftuned Racing Suspension, Wrap Autowerks, Reban Blackbird dan Nthree Brek Specialist.

Pemilihan model Myvi kerana ia menjadi salah satu kenderaan pilihan rakyat Malaysia dan JV Motorsport ingin memanfaatkan kebolehpercayaan hatchback berkenaan serta pada masa sama membangunkan minyak kotak gear baharu untuk JV Auto Lube.

Sasaran utama JV Motorsport dalam S1K adalah  menghabiskan perlumbaan, bagi membolehkan mereka menggunakan data-data yang dikumpul untuk pembangunan dan penyelidikan (R&D).

GALERI

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here