Selepas menandatangani perjanjian melantik CMH Group sebagai pengedar kenderaan Proton di Afrika Selatan pada April lalu, Proton memulakan penghantaran pertama model X50, X70 dan Saga pada 27 Mei lalu.
Selepas 10 tahun vakum di pasaran negara tersebut, tentunya pelbagai cara digunakan bagi mempromosikan kehadiran jenama berkenaan.
Baru-baru ini, pasangan DJ East Coast Radio, Stacey dan J Sbu memuatnaik video ringkas tentang kelebihan dan keistimewaan yang ditawarkan Proton X50.
Mereka mempromosikan SUV berkenaan dalam satu video ringkas bahkan teruja dengan teknologi arahan suara Hi Proton.
“Ini Proton X50, sangat selesa, jimat minyak 150PS daripada segi kuasa,” kata J Sbu.
“Kereta ini merupakan SUV mewah dan sporty. Bahagian dalam pula sangat sleek. Pada masa sama kita juga boleh bercakap dengan kereta ini,” kata Stacy.
Pasangan DJ radio itu mempromosikan model berkenaan sempena peraduan Hari Kekasih yang dianjurkan oleh wakil pengedar sah jenama tersebut.
NETIZEN MALAYSIA BERCAKAP BURUK TENTANG PROTON
Bagaimanapun, di sebalik kata-kata positif mempromosikan SUV berkenaan lain pula yang berlaku di ruangan komen. Netizen
Malaysia memburukkan reputasi X50 tersebut dengan berkongsi masalah kualiti dan alat ganti jenama nasional negara itu.
“My proton ada masalah cermin dan gear tombol tercabut. Perlu buka pintu setiap kali guna touch N go di tol lebuhraya,” Fique Adbab.
“Jangan rosakkan, alat ganti takkan sampai,” kongsi Shah Z Khan.
“Tunggu hingga anda perlukan alat ganti dan tempoh menunggu enam bulan hingga sembilan bulan, dah jadi di Malaysia…haha,” tulis Tan K Wooi.
Namun, ada juga rakyat Malaysia yang memberi komen positif dan berterima kasih kerana memilih jenama berkenaan. Bahkan mereka juga kurang senang dengan sikap rakyat Malaysia yang mencalar reputasi jenama berkenaan.
“Ramainya bercakap buruk kat sini, isu alat ganti bukan saja terkesan pada Proton atau kereta lain. Tetapi jenama lain dan model lain juga.
“Tetapi yang pasti mari kita berat sebelah dan terus mengutuk jenama/produk Malaysia. Aku ingatkan politician je buat buruk nama negara, rakyat pun sama palat,” kata Muzammil Zolkepli yang tidak berpuas hati dengan sikap netizen Malaysia.
“Rata-rata orang Malaysia kondem proton..sendiri jatuhkan income buat malaysia…entah apa-apa,” kongsi Muhamad Affandy.