Seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) pertuturan dan pergerakan gigih berjalan kaki untuk pulang ke kampung halamannya di Kelantan bagi menunaikan kewajipan sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Muhammad Haikal Noor Azmin,18, yang merupakan pelajar Kolej Komuniti Kepala Batas di sini nekad berbuat demikian selepas tiket bas ekspres untuk pulang ke kampung dikatakan habis dijual.
Walau bagaimanapun, dia yang berjalan bersendirian sambil menyorong beg pakaian itu ditemui seorang pensyarahnya yang kebetulan dalam perjalanan pulang di sekitar Jalan Bertam Indah 2 kira-kira pukul 7 petang semalam.
Pengarah Kolej Komuniti Kepala Batas, Ts. Jasni Mohd. Yusof ketika dihubungi berkata, pelajar tersebut ditemui dalam keadaan keletihan namun tetap mahu meneruskan perjalanan pulang ke kampung halamannya.
“Muhammad Haikal adalah pelajar bidang Sijil Animasi 2D dan dia juga kurang sempurna daripada segi pergerakan dan pertuturan namun semangatnya kuat.
“Kita mengambil inisiatif dengan menghantar Muhammad Haikal pulang Kelantan menggunakan kenderaan jabatan hari ini supaya boleh mengundi Sabtu nanti.
“Sumbangan turut dibuat oleh semua kakitangan kolej bagi memudahkan urusan perjalanan pelajar berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Haikal berkata, beliau amat terharu dengan bantuan yang dihulurkan oleh pihak kolej berkenaan. Katanya, bantuan yang diberikan itu dapat meringankan beban keluarganya.
Difahamkan, beliau kematian ayah sejak berusia 11 tahun lagi dan memikul tanggungjawab sebagai anak sulung daripada lima beradik