Keadaan jalan di Malaysia Timur tidak sama di Semenanjung yang mana perlu melalui laluan yang tidak rata bahkan off road kerana kedudukan kampung yang jauh pedalaman.
Baru-baru ini, pengguna Facebook berkongsi satu video yang menunjukkan perjalanan pulang ke Baram, Miri, Sarawak untuk mengundi.
Dalam video itu, Sandra Lunai W berkongsi Baram cukup terkenal dengan laluan off road kerana itulah rata-rata penduduknya memilik kenderaan trak pikap seperti Toyota Hilux, Nissan Navara dan Mitsubishi Triton sebagai pengangkutan.
“Tetapi yang satu ni, adik kepada king jalanan, Perodua Axia. Bah. Apa gik, go and buy Axia. Dah la murah, jimat minyak, dapat off road gik ya,” kongsinya.
Video itu menunjukkan pemandu Axia santai meredah laluan yang tidak rata dan berdebu bahkan jarak kenderaan dengan depan juga tidak begitu jauh.
Netizen kagum dengan keyakinan pemandu hatchback kompak tersebut dan menganggap tiada masalah meredah laluan sedemikian ketika cuaca panas namun sebaliknya akan berlaku ketika hujan. Risiko kenderaan tersekat dalam lumpur juga adalah tinggi.