Insiden tempahan yang berlebihan bukan sesuatu yang baharu dalam industri penerbangan di kebanyakan negara.
Seorang pelanggan Air Asia berkongsi pengalaman luar jangkaannya apabila ‘diusir secara paksa’ gara-gara sebuah pesawat terlebih tempahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2).
Pengguna Facebook, Susan Yong berkongsi dia bersama suami dan ibu bapa mereka membeli tiket Air Asia dari Kuala Lumpur ke Chiang Mai, Thailand pada 19 November lalu.
Bagaimanapun, dia mengalami masalah ketika cuba mendaftar masuk pada hari penerbangan secara online dan menggunakan mesin. Tidak mengetahui punca kepada masalah berkenaan, Susan menyelesaikan isu tersebut di bahagian kaunter.
AKUI LEBIHAN TEMPAHAN
Pihak kakitangan mengakui pesawat menerima tempahan berlebihan dan urusan tersebut dipindahkan ke kaunter perkhidmatan.
Bagaimanapun, pekerja kaunter perkhidmatan menawarkan penerbangan ganti ke Chiang Mai keesokan harinya. Susan menolak tawaran tersebut kerana sudah membuat tempahan penginapan dan kenderaan pada hari penerbangan.
Susulan itu, pekerja Air Asia menawarkan solusi kedua iaitu terbang ke Bangkok pada hari berkenaan jam 8 malam.
“Tetapi hotel dan kereta ditempah di Chiang Mai, adakah ini menyelesaikan masalah saya sekarang,” katanya.
Tidak lama kemudian, kakitangan kaunter tersebut memberitahu menyelesaikan masalah tersebut dan memintanya mendaftar masuk bagasi bagi penerbangan ke Chiang Mai.
“Tiket saya dan suami menggunakan tulisan tangan, tiada siapa yang menjelaskan kepada kami, cuma berkata kami akan aturkan tempat duduk nanti.
“Mereka juga memberi jaminan kami boleh terbang hari ini (19 November). Lepas masuk kapal terbang saya dan suami berdiri di depan menunggu pramugari uruskan kerusi,” tullisnya.
DIHALAU KELUAR
Pramugari mendapati nama Susan dan suami berada dalam ‘senarai tidak hadir’. Ketika menunggu mereka berbual dengan pramugari berkenaan bahkan dia memberi jaminan akan membantu mengatur tempat duduk.
“Eh, tiba-tiba seorang pekerja lelaki masuk dengan tingkah laku tidak baik suruh kami keluar, saya sangat takut,” ceritanya yang memberitahu sudah membeli tiket tersebut sejak April.
Dia yang menulis hantaran tersebut dalam bahasa cina menjelaskan lelaki tersebut mendakwa tiket tulisan tangan mereka tidak sah dan diminta meninggalkan pesawat.
Terkejut dengan situasi yang berlaku dan perlu meninggalkan orang tua mereka, suami Susan meminta pekerja menyelesaikan masalah tersebut menerusi ketua mereka.
Namun, pekerja lelaki itu menghubungi pihak keselamatan dan enggan mendengar penjelasan pasangan berkenaan.
Susan mendakwa sekurang-kurangnya enam atau tujuh pengawal keselamatan tiba bertindak seolah-olah mereka “menangkap penjenayah”.
Kemudian ibu bapa mereka turut keluar bersama dan suaminya menyelesaikan urusan mengambil bagasi. Bagi menyelesaikan masalah itu, pihak Air Asia memberi tiket penerbangan ke Chiang Mai pada esok hari.
TOLAK PAMPASAN
Syarikat penerbangan tersebut juga menyediakan penginapan satu malam dengan pakej sarapan dan makan malam percuma. Dalam catatan berasingan, Susan kecewa dengan penginapan yang disediakan Air Asia.
“Penginapan sangat teruk, saya tidak perlu jelaskan lagi,” katanya.
Selain itu, Susan juga berkongsi menerima e mail daripada Air Asia pada hari kejadian yang akan memberikan pampasan sebanyak USD100 (RM436) setiap seorang menerusi akaun peribadi.
Tetapi, dia menolak tawaran itu kerana kecewa dengan pendekatan yang digunakan oleh kakitangan Air Asia bagi menyelesaikan isu tersebut.
“Jika dimaklumkan lebih awal kami boleh uruskan percutian dengan lebih baik dan kerana kesilapan anda penerbangan pesawat tertunda sehingga sejam,” tulisnya.