Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkongsi perasaan gembira apabila dapat bekerja semula dengan pemandu lama ketika menjadi Menteri Pengangkutan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sebelum ini.
Kembali semula menerajui kementerian tersebut di bawah kabinet Kerajaan Perpaduan, Anthony Loke mengimbas kembali hantaran Facebooknya dua tahun lalu tentang perasaan rindu terhadap kakitangan yang pernah bekerja dengannya.
“Selamat pagi Malaysia, saya gembira dapat bekerja semula dengan ‘pilot’ saya, saudara Hazril.
“Saya pernah menceritakan kisah saya dengan Hazril semasa saya meninggalkan Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Mac 2020,” tulis beliau.
Menerusi hantarannya dua tahun lalu, Menteri Pengangkutan itu berkongsi pemandunya seorang yang pendiam namun berdedikasi dalam kerjanya.
“Dalam 21 bulan yang lalu, saya bersama dengan dia hampir setiap hari, Isnin sampai Ahad. Kadang-kala program saya sampai lewat malam tetapi keesokan harinya dia tetap sampai di rumah saya pada awal pagi.
“Tak pernah complain, tak pernah kata letih. Dia selalu kata , “YB cakap saja nak keluar pukul berapa”.
“Saya tak pernah biarkan kerusi depan kereta kosong. Kalau bodyguard saya (Wan) cuti, saya akan duduk depan. Kali pertama saya buat begitu, dia terperanjat. Beliau kata tak pernah lihat Menteri duduk depan. Saya kata saya tak kisah sangat protokol,” kongsinya.
Sementara itu, beliau turut menasihatkan pengguna supaya sentiasa menggunakan tali pinggang sebagai langkah keselamatan.