Seorang lelaki warga Singapura meluahkan rasa kecewa di Facebook selepas kereta BMW terpakai yang dibelinya rosak.
Tan Yong Chang, 27 berkata, dia membuat pinjaman bank dalam jumlah yang besar bagi memiliki BMW tersebut. Dukacita, kereta pertamanya itu kini terbiar di parkir rumah.
Tambahan memandu sedan Jerman itu bakal membahayakan diri, Yong Chang memilih menggunakan teksi setiap hari ke tempat kerja.
“Terpaksa membayar kereta dan tidak boleh pandu, ia sama seperti membakar wang,” katanya kepada AsiaOne.
BAYAR DEPOSIT
Pemuda itu menjelaskan membayar deposit sebanyak SGD500 (RM1,623) Ogos lalu kepada Evolution Motors Pte Ltd untuk membeli kenderaan terpakai BMW E60 5 Series 523i.
Namun, dia mula menyedari timbul masalah pada bulan yang sama iaitu kerosakan pada bahagian penyerap hentak, enjin, tingkap dan kunci pintu.
Dia kemudian membawa isu tersebut kepada pemilik jualan kereta dan Farhan Abdul Azis berjanji akan menyelesaikan masalah tersebut sebelum penyerahan.
Difahamkan, Yong Chang membuat pinjaman bank sebanyak SGD112,580 (RM365,434) pada bulan September kerana mempercayai janji penjual tersebut.
Bagaimanapun, ketika mengambil kereta pada 29 September, kunci kereta rosak dan dia terpaksa menukar sendiri yang baharu serta membuat kunci pendua.
Selain itu, kereta juga tidak dibersihkan ketika penyerahan. Lebih kecewa, Farhan menyalahkan kelewatan itu kerana pandemik, tenaga kerja dan pembekal.
TEKAN MINYAK BERGEGAR
Walaupun begitu, Tan masih menggunakan BMW tersebut ke tempat kerja walaupun setiap kali memijak pedal minyak akan ada gejala gegaran.
Keadaan itu memaksanya menempah teksi untuk penghantaran dan menghadiri mesyuarat, menyebabkan perbelanjaan tambahan sehingga SGD80 (RM259) setiap hari.
“Saya pergi ke mekanik pada Ahad (4 Disember) dan terkejut betapa seriusnya kerosakan itu,” katanya menambah bersyukur masih hidup selepas memandu BMW itu beberapa kali.
Dia yang bekerja dalam bidang logistik membuat laporan polis terhadap pemilik perniagaan itu pada 19 November dan tidak pasti langkah seterusnya yang perlu dilakukan.
Dia menjelaskan tidak menerima invois pembelian dan tidak pasti dapat menuntut pampasan kos baikpulih yang dikeluarkannya.
“Saya membeli kereta untuk menjimatkan masa, tetapi akhirnya menjadi tidak selamat untuk dipandu dan menyusahkan,” jelasnya kecewa.