Terbabas elak 4WD, pesakit bersalin dalam ambulans

1022

Sebuah ambulans terbabas ketika membawa pesakit yang ingin bersalin ke Hospital Tawau. Lebih menyentuh hati jururawat yang turut mengalami kecederaan tetap meneruskan tugas membantu pesakit bersalin dalam ambulans tersebut selepas insiden kemalangan.

Kisah itu dikongsi Pengarah Hospital Semporna, Dr Mohd Syahfadzreen Yunus melalui Facebook miliknya.



Beliau turut berkongsi imej ambulans yang remuk di bahagian sisi dan bumbung yang berada dalam semak. 

“Ya inilah gambar yang tular dan punca kejadian kita serahkan kepada polis untuk siasatan terperinci di musim hujan ini.
 
“Gambar ini bukanlah isunya. Tetapi hati ini terkilan dan degupan jantung terhenti seketika apabila warga kerja Hospital yang terlibat sama masih membantu pesakit melahirkan bayi dengan selamat selepas kemalangan di tempat kejadian.
 
“(Alhamdulillah ibu dan bayi selamat dan sihat) dan setibanya staf terlibat di Kecemasan Hospital Semporna (dihantar menggunakan ambulans kedua hospital dan ambulans bomba) ayat pertama yang mereka tuturkan “Saya berharap saya ok sebab nanti rakan lain akan terpaksa cover tugasan saya”,” tulisnya. 
 

Beliau juga mendoakan agar pesakit dan kakitangan hospital yang terlibat diberikan kesembuhan segera. 

Menurut laporan Berita Harian, kemalangan berlaku kira-kira jam 1.50 petang ketika ambulans dalam perjalanan ke Hospital Tawau dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas.

Difahamkan ambulans tersebut terbabas ke tepi jalan selepas cuba mengelak sebuah pacuan empat roda (4WD) yang memotong secara tiba-tiba dari arah bertentangan.

Dalam insiden itu menyebabkan dua jururawat mengalami kecederaan, seorang daripadanya cedera pada bahagian belakang badan, manakala seorang lagi patah tulang pinggul. Sementara pemandu ambulans hanya mengalami kecederaan ringan. 

Seorang wanita hamil berusia 26 tahun dilaporkan selamat dan dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here