Pernahkah anda terfikir mengapa penumpang tidak dibenarkan membawa masuk air ke dalam pesawat mahupun ketika daftar masuk melalui bahagian pemeriksaan keselamatan?.
Sedangkan air yang dibeli selepas pemeriksaan imigresen boleh pula dibawa bersama ke kabin pesawat. Peraturan ini sering membingungkan dan tidak masuk akal.
Mengapa sesuatu yang tidak berbahaya seperti air tidak dibenarkan melalui lapangan terbang?. Sebenarnya protokol berkenaan ada kaitan dengan keselamatan.
Air dikategorikan sebagai LAGS (liquid, aerosol, gas dan spray). Alasan air tidak dibenarkan melalui bahagian keselamatan lapangan terbang kerana terdapat beberapa cecair kimia boleh meletup misalnya nitrogliserin yang sama dengan air dan tidak dapat dibezakan.
Cecair jernih ini tidak dapat dikesan X-ray keselamatan lapangan terbang dan boleh bertindak seperti bahan letupan biasa sekaligus menimbulkan ancaman besar kepada pesawat.
DIHARAMKAN 16 TAHUN LALU
Pengharaman ini dikuatkuasakan selepas percubaan meletupkan pesawat pada 2006. Kisah percubaan pengganas tersebut disiarkan dalam siri Netflix bertajuk Terrorism Close Calls.
Lebih tepat kejadian berlaku pada bulan Ogos melibatkan tiga orang pengganas yang menyembunyikan bahan letupan cair dalam botol minuman ringan.
Tindak tanduk pengganas itu direkodkan menerusi kamera pengawasan awam. Mereka membuat bahan letupan cecair di dalam minuman soda ketika dalam perjalanan dari United Kingdom ke Amerika Syarikat dan Kanada.
Penyiasat polis membuka bagasi Abdulla Ahmed Ali yang ketika itu sudah ditahan di bawah pengawasan dan menemui minuman ringan serbuk, Tang dan sejumlah besar bateri.
Lelaki kedua, Assad Sarwar, dikesan membeli barangan yang tiada kaitan dengan keperluan harian dan dia dilihat melupuskan botol hidrogen peroksida kosong di pusat kitar semula oleh pegawai pengawasan.
Hasil siasatan, sebuah taman di timur London adalah lokasi pertemuan Assad dan Abdulla. Sementara apartmen Abdulla merupakan tempat yang dijadikan kilang bom dan menyeludup M15.
Abdulla dan Tanvir Husain dirakam membuat bahan letupan menggunakan botol soda pada 3 Ogos menerusi kamera tersembunyi dan mikrofon. Pihak pendakwa menyatakan setiap pengebom akan menaiki pesawat dengan bahan dan peralatan yang diperlukan.
Bagaimana mereka mengaburi mata dan sistem pengimbasan kawalan keselamatan lapangan terbang?.
Minuman bertenaga jenama Lucozade dan minuman soda Oasis akan diisi dengan hidrogen peroksida.
Untuk menjadikan hidrogen peroksida kelihatan seperti minuman ringan biasa, mereka mencampurkan minuman serbuk jenama Tang.
Picagari digunakan untuk menyuntik campuran ke dalam botol. Apabila disaring oleh keselamatan lapangan terbang, alat itu akan kelihatan seperti botol minuman biasa yang belum dibuka.
Jika tidak kerana pasukan pengawasan awam UK, tentunya tahun itu akan menjadi insiden besar yang menggegarkan dunia.
Selepas plot itu digagalkan, Pengurusan Keselamatan Pengangkutan (TSA) memperkenalkan peraturan 3-1-1. Satu-satunya cara untuk memastikan penumpang selamat adalah mengehadkan jumlah cecair yang boleh dibawa masuk ke kabin pesawat.
Sejak itu juga air mineral mahupun aerosol tidak boleh dibawa tetapi penumpang dibenarkan membawa 100ml cecair. Selebihnya perlu diletakkan dalam bagasi untuk daftar masuk ke kargo.
DOMESTIK BOLEH PULA
Selain itu, tentunya ada yang mempersoalkan air yang dibeli selepas pemeriksaan imigresen dibenarkan. Ini kerana minuman yang dijual di kedai ruangan menunggu pesawat disahkan selamat daripada bahan letupan.
Manakala, penerbangan domestik membolehkan penumpang membawa botol minuman kerana sistem pemeriksaan peringkat tempatan yang sama antara negeri.
Misalnya Kuala Lumpur ke Terengganu menggunakan kawal selia dan pihak keselamatan yang sama iaitu Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) .
Tiada masalah untuk membawa air mineral atau LAGS dalam penerbangan domestik. Berbeza pula penerbangan antarabangsa, ini kerana mereka memilik polisi tersendiri dan tahan ancaman serta penilaian risiko yang ditetapkan.
Justeru itu, anda perlu mematuhi peraturan LAGS yang ditetapkan dan ditandatangani sebanyak 163 negara.
Persoalannya ke mana pihak keselamatan letak barangan kita yang dirampas?…