Netizen mempersoalkan keselamatan bangunan kedua tertinggi di dunia, Merdeka 118 selepas muncul imej pasangan warga asing di puncak bangunan tersebut.
Pasangan berkenaan dikenali sebagai Ivan Beerkus dan Angela Nikolau dan imej itu dimuatnaik pada malam Isnin di SkyscraperCity.com, dan turut dikongsi dengan komuniti subreddit Malaysia di reddit.com.
Duo berkenaan popular dengan aksi mencabar di puncak menara seluruh dunia dan dipercayai mendaki ke puncak bangunan menggunakan tangga yang kemudian merakamkan aksi tersebut dengan dron.
“Saya berada di puncak menara. Ia gila,” tulis Beerkus.
“Saya mendengar banyak cerita tentang cubaan memanjat bangunan ini secara haram. Yang paling menyedihkan ialah seorang yang berakhir di penjara selama beberapa bulan.
“Terdapat banyak pintu tertutup dan kamera CCTV di dalam bangunan yang menjadikannya bangunan paling diingini di dunia,” tulisnya.
Belum disahkan adanya individu dipenjarakan kerana cuba memanjat menara tersebut, seperti didakwa Beerkus.
Pada 2009, lelaki Perancis Alain Robert ditangkap kerana memanjat Menara Berkembar Petronas.
Tidak seperti Beerkus dan Nikolau, Robert yang merupakan seorang pendaki batu memanjat bahagian luar bangunan.
Lelaki yang dikenali sebagai “French Spiderman” itu didenda RM2,000 kerana aksinya itu.