Bagi menampung kapasiti kenderaan elektrik (EV) yang semakin meningkat, Cyberview Sdn Bhd (Cyberview) dan Roda Emas Industries Sdn Bhd (REISB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memberi fokus kepada menawarkan kemudahan pengecasan serta melancarkan GO TO-U EV Lifestyle Hub.
Melalui kerjasama strategik ini, Cyberview dan REISB akan memanfaatkan kekuatan, pengetahuan, rangkaian dan keupayaan masing-masing. Ia dalam membangunkan ekosistem mobiliti pintar yang tertumpu kepada penciptaan serta pengukuhan infrastruktur EV, penggunaan mobiliti elektrik, selain menambah baik pengurusan tenaga di Cyberjaya.
Perkongsian itu bakal menyaksikan Cyberview dan REISB meneroka potensi kerjasama untuk pengembangan stesen pengecas EV dan sistem pengurusan ke lokasi strategik lain di Malaysia.
Pada masa sama, Cyberview dan Roda Emas Industries bekerjasama membuka pusat pengecasan Go To-U EV Lifestyle Hub di Rekascape Cyberjaya. Ia bakal memberi pilihan tambahan kepada pemilik kenderaan elektrik di Cyberjaya dan kawasan sekitarnya.
Malah pihak Roda Emas juga turut beroperasi dari Cyberjaya, bagi memantau pengecas-pengecas mereka yang akan dibangunkan di beberapa lokasi lain di seluruh Malaysia tidak lama lagi.
Go To-U EV Lifestyle Hub di Rekascape Cyberjaya mempunyai empat pengecas DC CCS2 dengan keupayaan pengecasan maksimum 60kW, tetapi pengecasan tersedia untuk pengguna adalah 30kW.
Keupayaannya, ia mampu mengecas sesebuah EV dalam tempoh yang singkat kurang satu jam untuk memenuhi kapasiti bateri kenderaan.
Dengan pelancaran, Go To-U EV Lifestyle Hub ia juga bakal memenuhi saranan kerajaan untuk mencapai sasaran 10,000 stesen pengecas awam di seluruh Malaysia menjelang 2025.