Satu bahan binaan terjatuh daripada tingkat 56 telah menghempap sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan sehingga rosak dan kejadian berlaku berdepan kedai serbaneka, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, hasil pemeriksaan di lokasi mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 8.45 pagi.
“Satu bahan binaan atau kepingan staging daripada tingkat 56 banggunan 80 tingkat yang sedang dibina berhampiran telah jatuh.
“Objek telah jatuh atas kereta jenis Toyota Vios yang berada di hadapan kedai serbaneka itu,” katanya.
Bagaimanapun menurut Noor Dellhan, semasa kejadian berlaku tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketika kejadian berlaku, pemilik kenderaan berada di dalam kedai serbaneka dan tiada kecederaan direkodkan.