Bagi memeriahkan segmen trak pikap di negara ini, Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd bakal membawa masuk trak pikap pertama Peugeot iaitu Landtrek untuk pasaran tempatan.
Ia dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun ini dan Malaysia menjadi yang pertama menerima Landtrek di Asia Pacific.
Model pemasangan tempatan (CKD) itu adalah hasil kerjasama dengan pengeluar dari China iaitu Changan Auto. Jadi, trak pikap tersebut dibina di atas platform yang sama digunakan oleh Changan Kaicheng F70.
Bahagian hadapan Landtrek menggunakan gril hitam krom bersama logo Peugeot bersaiz besar. Sepasang lampu utama LED, lampu kabus dan scuff plate berwarna kelabu membuatkan penampilan Landtrek ini lebih garang.
Sisi tampil menarik dengan penggunaan rim dua tona bersaiz 18 inci yang dibalut tayar All-Terrain Goodyear Wrangler. Tidak ketinggalan pemijak sisi, roof rails dan sport bar balutan krom.
Pada bahagian belakang, ia masih lagi menarik dengan kehadiran kemasan krom pada bampar, sepasang lampu LED dan logo serta tulisan PEUGEOT.
Dari segi dimensi, ia mempunyai lebar 1.92 meter, panjang 5.39 meter (single cab) dan 5.3 meter untuk double cab. Berat Landtrek adalah sekitar 1900kg sehingga 2,060kg bergantung pada varian. Ia mampu membawa beban seberat 1 tan. Jarak kelegaan ialah ialah sekitar 214mm.
Bagi rangkaian kuasanya, ia dijangka ditawarkan dengan enjin 1,900cc turbodisel yang dibekalkan oleh Isuzu. Sedia maklum bahawa Isuzu adalah antara pengeluar enjin disel terbesar di dunia.
Enjin itu mampu menjana 150hp dan tork 350Nm yang disalurkan dengan menggunakan transmisi enam kelajuan automatik.
Melihat ke ruang kabin, Landtrek memang kelihatan moden dengan susun atur rekaan terkini kenderaan Peugeot. Ia hadir dengan stereng dan skrin sentuh bersaiz 10 inci yang diambil daripada SUV 5008.
Skrin sentuh itu menawarkan ketersambungan dengan Apple CarPlay dan Android Auto. Dari segi harga, ia dianggarkan dijual bermula RM123,000.