Seorang wanita menunjukkan isyarat lucah terhadap seorang pemandu selepas diberikan laluan untuk keluar dari parkir bawah tanah.
Video rakaman papan pemuka tersebut tular di media sosial, namun lokasi kejadian tidak diketahui.
Kejadian yang berlaku pada waktu malam itu menunjukkan wanita yang memandu Proton Preve tersebut keluar dari parkir lalu masuk ke jalan utama, seterusnya pemandu yang berada di jalan tersebut memberhentikan keretanya bagi memberi laluan.
Bagaimanapun, wanita itu kemudian menunjukkan isyarat lucah sebanyak dua kali seperti dalam keadaan marah.
Selepas dia berjaya memandu keluar kenderaannya dan berada di laluan utama, wanita itu menurunkan cermin tingkap kereta serta memberikan isyarat lucah dua kali.
Menjengah ke ruangan komen, orang ramai mengecam tindakan wanita tersebut yang disifatkan tidak beradab.
“Sebagai perempuan, saya pun rasa nak tunjuk jari tengah balik pada perempuan ini. Kot ya pun angkat saja tangan dik. Adab manusia sekarang sudah pupus gamaknya,” kata seorang pengguna Twitter.
“Bila sudah tidak ada rasa malu dan sudah tentu tak ada rasa hormat kepada orang lain, macam inilah. Sikap yang sangat teruk,” kata pengguna lain.
Dalam masa sama, ada pengguna media sosial beranggapan, tindakan wanita tersebut disebabkan pemilik ‘dashcam’ yang dikatakan memandu laju.
“Tunjuk jari tengah dah memang salah. Tapi perempuan itu dah masuk depan, pemilik ‘dashcam’ seolah-olah laju tak nak beri orang itu keluar. Boleh nampak pemilik ‘dashcam’ brek semasa perempuan itu dah masuk setengah (jalan),” ujarnya.