Seperti pasaran luar, akhirnya UMW Toyota Motor membawa masuk versi manual untuk Toyota GR Supra 2023 bagi pasaran tempatan.
Ia pastinya membuatkan peminat kereta manual tersenyum untuk memilikinya. Buat masa ini, bukan semua kenderaan menawarkan transmisi manual biarpun ia sebuah kereta berprestasi.
Ia menggunakan kotak gear manual 6-kelajuan yang dibangunkan khusus untuk dipadankan dengan enjin 3.0 liter enam silinder sebaris dengan pengecas turbo berkembar. Enjin DOHC 24 injap itu menghasilkan 388 PS antara 5,800 – 6,500 rpm dan 500 Nm tork dari 1,800 – 5,000 rpm. Semua kuasa itu disalurkan ke roda belakang.
Had kelajuaan 250km/j
Biarpun begitu, kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik kepada 250 km/j, pecutan dari 0 hingga 100 km/j dengan transmisi manual ialah 4.4 saat berbanding 4.1 saat dengan transmisi automatik.
Mereka yang tidak suka memandu manual, anda tidak perlu tersisih. Ini kerana GR Supra 2023 turut ditawarkan dengan transmisi automatik 8-kelajuan. Selain itu, jurutera Toyota GR juga telah memperhalusi lagi ciri-ciri stereng dan suspensi dengan mengubahsuai sesendal penstabil dan menala semula suspensi boleh ubahsuai.
Sistem kawalan casis juga susah ditentukur semula untuk meningkatkan prestasi pengendalian dan keselesaan pemanduan. Selain mempunyai pengagihan berat 50:50, dinamik pemanduan unggul GR Supra dipertingkatkan dengan Suspensi Pembolehubah Adaptif dan Electronically Controlled Limited Slip Differential.
12 pembesar suara JBL
Ruang dalaman, GR Supra ditata dengan pendekatan pemanduan yang berpusat. Ia datang sebagai standard dengan upholsteri kulit, Paparan Heads-Up, tempat duduk sukan boleh laras elektrik, cermin spion elektrokromatik dan sistem audio JBL 12 pembesar suara.
Dari segi keselamatan, Teknologi Toyota Supra Safety membolehkan pemandu membawa kereta ke tahap yang lebih selamat. Warnanya pula, ia ditawarkan dengan Prominence Red, Lighting Yellow, White Metallic, Black Metallic, Dawn Blue Metallic, Volcanic Ash Grey Metallic, Matte Avalanche White Metallic dan Matte Storm Grey Metallic.
Ciri-ciri lain yang ada pada Toyota GR Supra 2023
- Cruise control (manual)
- Adaptive Cruise Control (automatik)
- Sistem Pemantauan Tekanan Tayar,
- Sensor Letak Kereta Pintar dengan Fungsi Brek Kecemasan
- Pemantau Titik Buta dengan Amaran Trafik Palang Belakang.