Polis menahan tiga lelaki dan dua wanita warga Indonesia dipercayai terlibat kegiatan pecah cermin kereta dan curi di sekitar bandar ini di Jalan Reko, Kajang, Selangor Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata, tangkapan dilakukan secara berasingan di premis dan tepi jalan susulan penahanan dua suspek utama iaitu lelaki berusia 34 tahun dan wanita berusia 30 tahun dalam Ops Pecah Kereta.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek utama kes dipercayai bekerja sebagai wartawan di Indonesia berdasarkan penemuan pas media milik lelaki berusia 34 tahun. Namun, polis sedang dalam proses mengesahkan pekerjaanya.
“Tiga lelaki dan dua wanita itu kesemuanya berusia 24 tahun hingga 30 tahun. Dengan penahanan ketujuh-tujuh suspek, polis telah menyelesaikan tujuh daripada 12 kes melibatkan pecah kereta yang dilaporkan sejak awal tahun ini.
“Suspek utama disyaki menyerahkan hasil curi kepada rakan-rakannya (lima suspek yang ditangkap) untuk dijual dan digadai bagi mendapatkan duit. Suspek dipercayai memecahkan cermin tiga segi pada bahagian belakang kereta untuk membuka pintu dan menggeledah barangan berharga,” katanya.
Menurutnya, polis merampas sejumlah barangan bernilai RM33,700 daripada mereka antaranya komputer riba, beg pelbagai jenama, barangan kemas, jam tangan, wang dan telefon bimbit.
Katanya, suspek utama dipercayai suami isteri tiba di negara ini sejak Disember tahun lalu, tinggal di Kajang dan menyewa sebuah kenderaan serta menggunakan alatan yang dibuat sendiri seperti palam pencucu kereta bagi melakukan kegiatan tersebut.
Nanda berkata, berdasarkan pasport mereka didapati tiba sebagai pelancong dan kesemua tinggal berasingan di kawasan berhampiran Kajang.
Kesemua direman hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Media sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri warga Indonesia dipercayai aktif menjalankan kegiatan pecah cermin kereta dan curi di sekitar Kajang pada 17 Februari lalu.