Nampaknya pelancaran Toyota Vios 2023 dijangka diadakan buat masa terdekat nanti. Ini berikutan siri gambar yang dikatakan secara tidak sengaja disiarkan selebriti, Sean Lee yang berada dalam penggambaran komersial untuk mempromosikan Toyota Vios 2023.
Namun berdasarkan carian kami di halaman Instagram selebriti terbabit berhubung siaran itu sudah dipadamkan. Adakah ini satu daripada strategi pemasaran?
Ada juga beberapa laporan mengatakan bahawa jentera itu bakal dilancarkan pada Jumaat ini. Bagaimanapun, Motoqar masih belum menerima jemputan rasmi daripada pihak UMW Toyota Motor berhubung majlis pelancaran Toyota Vios 2023 pada Jumaat ini.
Namun, Motoqar difahamkan bahawa Vios 2023 bakal dilancarkan pada Mac ini, manakala tempahan akan dibuka pada masa terdekat.
Sementara itu, berdasarkan laporan www.automachi.com harga untuk Vios baharu bakal dijual bermula dari RM88,000, manakala RM 96,000 untuk varian tertinggi. Berbanding harga model generasi sebelumnya, nampaknya harganya lebih tinggi sedikit!
Buat masa ini, tiada maklumat lanjut berhubung Vios 2023 yang bakal dilancarkan di negara ini. Berdasarkan spesifikasi Vios di negara jiran seperti Indonesia, ia masih menggunakan enjin 1.5 liter Dwi VVT-i yang menghasilkan 106 PS dan tork 138 Nm.
Model generasi baharu itu menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) Perodua Axia, Daihatsu Ayla dan Toyota Agya.
Dimensinya lebih besar dengan 5mm lebih panjang, 10 mm lebih lebar dan 5mm lebih tinggi sementara jarak antara rodanya turut meningkat 70mm.
Butiran lanjut, kita tunggu sahaja pelancarannya nanti!
Galeri Gambar