Polis mengesahkan pemandu dan pemilik kereta yang terdapat ‘vest polis’ atas papan pemuka yang tular kerana menghalang lalu lintas di Persiaran Brash, Ipoh, baru-baru ini dikenakan tindakan saman.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata siasatan mendapati kejadian itu berlaku Sabtu lalu jam 6.29 petang di Persiaran Brash berhampiran Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau Padang Polo.
Berdasarkan semakan, kereta jenis Proton Saga berwarna hitam itu adalah milik pegawai rendah polis yang bertugas di Batu Gajah.
“Ketika kejadian, kereta itu dipandu oleh saudara anggota tersebut dan semakan juga mendapati, vest polis yang berada di papan pemuka kenderaan merupakan milik penjawat awam itu.
“Sehubungan itu, pemandu kenderaan telah dikenakan saman di bawah Kaedah Lalu Lintas 16(1) LN 166/59 kerana membuat halangan lalu lintas dan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu tanpa lesen memandu yang sah.
“Pemilik kereta juga disaman mengikut Seksyen 26(1) APJ 1987 kerana membenarkan seseorang memandu kenderaan tanpa lesen,” katanya.
Kes itu juga dirujuk kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Kontinjen Perak untuk siasatan dari sudut tatatertib terhadap pegawai rendah polis berkenaan.
Tegasnya, pihak polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang melakukan kesalahan lalu lintas.