Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd memperkenalkan Modenas Vulcan S ABS ke pasaran tempatan.
Motor kruiser tersebut dilengkapi dengan enjin berkembar 649cc DOHC penyejukkan cecair, 4-injap menghasilkan kuasa 44.7kW @ 7,500rpm dan tork 62.4Nm @ 6,600rpm bersama transmisi manual 6-kelajuan.
Trenkuasa itu ditala bagi menghasilkan kuasa yang mesra penunggang. Vulcan S menawarkan permulaan lancar sehinggalah berhenti bersama pecutan dan tarikan yang memuaskan.
Susun atur aci engkol segi tiga dan aci penghantaran menjadikan enjin sangat pendek dari depan ke belakang.
Ketinggian pelana yang rendah 705mm dengan reka bentuk yang lebih ramping menawarkan pengendalian sangat stabil apabila mengambil selekoh pendek.
Kelebihan itu membolehkan Vulcan S ditunggang dengan pelbagai saiz penunggang. Menyempurnakan kelebihan tunggangan santai itu disumbangkan oleh pemijak kaki dan tuil boleh laras dan beberapa komponen aksesori.
Kelebihan penggayaan Vulcan S yang lain antaranya jarak kelegaan tanah yang tinggi (130mm), pelana yang tebal menawarkan sokongan pinggul yang bagus, tunggangan santai menerusi posisi kaki ke depan.
Sementara, penampilan kruiser itu diserlahkan dengan lampu depan segi tiga terbalik yang memberikan rupa moden dan sporty. Di atasnya terletak meter yang memaparkan pelbagai maklumat tunggangan dengan latar LED biru untuk penglihatan lebih baik waktu malam.
Untuk keselesaan tunggangan, suspensi depan menggunakan fork teleskopik dan Horizontal Back-link SWG ARM di bahagian belakang.
Bagi menyerap permukaan jalan yang tidak rata dan beralun, Vulcan S menggunakan tayar bersaiz 120/70 R18 (depan) dan 160/60 R17 (belakang) bersama brek cakera tinggal bersaiz 272mm di depan dan 216mm di belakang.
Vulcan S didatangkan dengan dua warna diaitu Metallic Flat Spark Black yang berharga
RM36,500 dan Pearl Matte Sage Green pada harga RM37,200.