Seorang bapa yang dalam perjalanan untuk menghantar empat orang anaknya ke sekolah berdepan detik cemas selepas kereta yang dinaiki mereka terbakar dalam kejadian di Chembong, Rembau, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Zulfadzli Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada pukul 7.20 pagi dan segera ke lokasi bagi memadamkan kebakaran.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi didapati kebakaran membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Nissan Livina sedang terbakar.
“Pemandunya berusia 44 tahun dalam perjalanan menghantar empat anak berusia enam hingga 17 tahun ke sekolah. Pemandu memberitahu setibanya berhampiran lampu isyarat, dia terhidu bau hangit dan segera memberhentikan kereta ke bahu jalan.
“Seorang penunggang motosikal yang turut sama di lokasi mendapati ada asap di bahagian hadapan kereta tersebut.
Pemandu kenderaan bersama kesemua anaknya iaitu tiga orang lelaki dan seorang perempuan segera keluar dari kereta dan berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Ujar Mohd. Zulfadzli, kenderaan berkenaan dianggarkan terbakar sekitar 90 peratus.Punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.