Bengkel motosikal di Kajang, Selangor baru-baru ini menawarkan harga Rahmah serendah RM5 bagi tayar motor bagi meringankan beban pengguna.
Pemilik Bengkel Dania Garage, Mohd Mustakim Mohd Munawir berkata Program Amal Tayar Rahmah yang dianjurkannya adalah sebagai satu bentuk sumbangan dan penghargaan kepada pelanggan bengkelnya.
“Saya berterima kasih kepada semua pengguna dan pemilik motosikal yang menjadi pelanggan dan menyokong bengkel saya selama ini.
“Jadi sempena Ramadan ini, saya menawarkan tayar motosikal pada harga Rahmah, juga dengan tujuan untuk membantu meringankan beban pemilik motosikal,” katanya.
Jualan amal yang dianjurkan selama sehari pada 20 Mac lalu berjaya menarik kehadiran kira-kira 3,000 pemilik motosikal.
Bagaimanapun, pihaknya memperuntukkan sejumlah 1,000 unit tayar untuk dibeli oleh pemilik motosikal pada harga RM5 seunit.
“Program jualan amal ini merupakan jualan tayar motosikal bersaiz 70/90-17 dan 80/90-17, harga jualan sebenar tayar tersebut adalah RM60 seunit yang mana harga Rahmah tayar itu tidak ada dijual di mana-mana tempat, setakat ini hanya di bengkel Dania Garage sahaja.
“Mac tahun ini merupakan bulan yang amat mencabar kepada semua pengguna kerana sesi persekolahan bermula dan persiapan raya datang serentak yang mana rata-rata memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi.
“Sebab itu saya tampil menawarkan tayar motosikal pada harga Rahmah memandangkan sebahagian besar pemilik motosikal ini adalah golongan B40,” jelasnya.
Dania Garage yang berpusat di Sungai Chua, Kajang mula beroperasi pada 2016 dan kini memiliki tiga cawangan lagi iaitu dua di Kajang dan satu di Serdang.