
Kematian seorang lelaki dalam satu kemalangan di KM32.6, Lebuhraya Karak, Gombak mencetuskan tanda tanya apabila hanya lori dipandunya ditemui di lokasi kejadian.
Difahamkan berdasarkan kerosakan pada lori, kenderaan itu merempuh sebuah kenderaan lain namun pasukan penyelamat melaporkan tiada kenderaan lain ditemui sejurus tiba di lokasi kejadian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohd Nasir berkata, kemalangan dipercayai berlaku jam 1 pagi membabitkan lori tiga tan Isuzu dipandu mangsa dan kenderaan lain yang tidak dapat dipastikan jenisnya.
“Setibanya di tempat kejadian pemandu berusia 43 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan tidak dikenal pasti di lorong kiri.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 0176645812.