Proton merekodkan jualan 14,573 unit kenderaan bulan lalu melibatkan pasaran tempatan dan eksport dengan peningkatan 3.8 peratus berbanding Februari.
Jualan tersebut juga meningkat sebanyak 11.9 peratus berbanding Mac 2022. Sementara, bagi suku pertama 2023, jualan Proton mencecah 40,287 unit iaitu peningkatan 50.9 peratus berbanding tahun lalu.
Dengan pegangan pasaran 18.7 peratus bulan berkenaan menjadikan Proton kekal di kedudukan kedua.
PERSONA MODEL TERLARIS
Tiga model Proton mendominasi segmen masing-masing dengan Proton Persona kekal sebagai sedan segmen-B terlaris.
Bagaimanapun, jualan Persona terhalang kerana kekurangan komponen dan cip mikro pada tahun lalu yang mana hanya lima unit dihantar kepada pelanggan pada Julai.
Keadaan kembali stabil tahun ini dengan jualan Persona mencapai 2,421 unit bulan lalu, sekali gus mengekalkan status sebagai pendahulu segmen selama tiga bulan berturut-turut. Proton menjual 6,773 unit Persona sejak Januari 2023.
X50 KEKAL SUV TERLARIS
Proton juga mendakwa populariti X50 tidak pernah tercabar semenjak dilancarkan. SUV segmen-B itu tetap mendahului segmennya dan kekal sebagai SUV terlaris di Malaysia dengan jualan 3,414 unit pada Mac.
Jualan suku pertama pula adalah 9,668 unit, penambahan 34.4 peratus berbanding 2022. Pendahulu jualan segmen ketiga adalah Proton Exora, yang kekal sebagai MPV segmen-C terlaris dengan 426 unit dijual pada Mac.
Model Proton paling popular Proton Saga pula mencapai jualan melebihi 6,000 unit untuk bulan kedua berturut-turut dengan jualan 6,313. Bagi suku pertama, syarikat berjaya menjual 17,446 unit Proton Saga, peningkatan sebanyak 84.6 peratus.
Akhir sekali, Proton Iriz dan Proton X70 merekodkan jualan 712 dan 1,272 unit. Iriz kekal di tangga ke empat bagi hatchback segmen-B manakala X70 berada di tempat kedua bagi jualan SUV segmen-C.