PROTON bakal percepatkan model EV, bakal dilancarkan seawal 2025

650

Proton Holdings Bhd (PROTON) akan mempercepatkan pelan kereta elektrik (EV) untuk model tempatan pertamanya seawal 2025 berbanding perancangan awalnya pada 2027.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Abdullah berkata, langkah mempercepatkan pengenalan model EV pertama PROTON itu adalah selaras dengan komitmen kerajaan yang memberi sokongan kukuh kepada perkembangan EV di Malaysia.



Katanya, buat masa ini PROTON mengenalpasti model yang bersesuaian untuk diperkenalkan bagi memenuhi keperluan pelanggan tanpa berkompromi dari aspek harga mampu milik dan praktikal.

“EV menjadi antara tumpuan PROTON dan kami sedang giat melaksanakan usaha untuk mempercepatkan pelancaran model EV Proton pertama seawal 2025.

“Kita sedang kenal pasti model supaya ia dapat ditawarkan pada harga mampu milik dan praktikal. Kedua-dua elemen ini penting untuk kereta EV Proton,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Kempen PROTON Rahmah 2023 di sini, hari ini.

Perasmian Kempen PROTON Rahmah 2023 disempurnakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Yang turut hadir, Pengerusi PROTON, Datuk Seri Syed Faisal Albar; dan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong.

Berdasarkan laporan Berita Harian tahun lalu, ketika Roslan menjadi ahli panel sesi Pelaburan dalam EV – Peluang dan Cabaran pada forum Invest Malaysia Series 2: The Road to EV mendedahkan, PROTON memiliki dua model pembakaran dalaman (ICE) yang boleh ditukar kepada EV, namun pengeluar kereta nasional itu perlu memahami pasaran, teknologi dan pelaburan sebelum memutuskan untuk menjadi sebahagian pengeluar dalam industri alaf baharu itu.

Katanya, pelan hala tuju EV PROTON sudah bermula hampir 10 tahun lalu, namun tidak dapat dilaksanakan selepas mengambil kira permintaan pasaran ketika itu.

Menurut Roslan, PROTON perlu membuat perancangan rapi sebelum beralih kepada EV kerana perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk pengeluaran, pengedaran dan pemasaran,” katanya.

Katanya, dari aspek ekonomi, apabila jualan kenderaan ICE Proton mencecah 150,000 unit setahun, ia cukup bagus untuk PROTON mempertimbangkan peralihan kepada EV.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here