Jalan alternatif Gua Musang-Kuala Lipis sesak 6 km

372

Aliran trafik di jalan alternatif Gua Musang sesak sejauh 6km apabila kenderaan perantau bertali arus masuk ke Kelantan untuk pulang bercuti Hari Raya Aidilfitri.

Di Hentian Gua Musang sehingga ke Simpang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, laluan tersebut penuh dengan kenderaan sejak pagi tadi.

Seorang operator kilang, Nuramiza Omar, 33, berkata dia bertolak dari Shah Alam, Selangor kira-kira jam 3 pagi dengan menunggang motosikal bersama suami dan rakan-rakan.



Katanya, dia tiba di Hentian Gua Musang pada jam 12 tengah hari untuk berehat selepas menempuh kesesakan.

“Saya tetap memilih laluan Gua Musang untuk pulang ke Melor, Kota Bharu meskipun menyedari akan berlaku kesesakan disebabkan lencongan jalan alternatif Gua Musang-Kuala Lipis,” katanya.

Seorang pekerja swasta, Nur Amila Abdullah berkata, dia bersama ahli keluarga menempuh perjalanan lebih 10 jam dari Cheras, Kuala Lumpur ke Gua Musang.

Katanya, kebanyakan laluan mengalami kesesakan yang teruk antaranya di Gombak di Selangor selain Raub, Kuala Lipis dan Merapoh di Pahang.

“Kami bertolak dari rumah kira-kira pukul 1 pagi dan sampai di Hentian Gua Musang pada jam 11 pagi tadi.

“Pada mulanya kami merancang untuk melalui Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), namun aplikasi “Waze” membawa kami ke jalan ini. Jadi, kami melalui jalan alternatif Gua Musang-Kuala Lipis dan terpaksa menghadap kesesakan lalu lintas,” katanya yang akan pulang ke Tanah Merah.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here