Smart UK umum harga dan spesifikasi EV #1

643

Harga dan spesifikasi SUV elektrik Smart #1 baharu diumumkan di United Kingdom (UK) yang mana penghantaran pertama dijangka pada musim panas tahun ini.

Pelancaran Smart #1 mewakili langkah pertama dalam transformasi jenama itu menjadi pengeluar kereta elektrik penuh iaitu 25 tahun selepas pelancaran kereta bandar Smart dua tempat duduk.



Smart #1 dibangunkan di bawah pemilikan bersama Daimler-Geely dan 100 unit #1 pertama di pasaran UK merupakan model Launch Edition. Ia menampilkan butiran reka bentuk diilhamkan oleh model konsep Smart #1 yang debut di Munich pada 2021.

Selain itu, pilihan model lain yang tersedia adalah versi Pro+, Premium dan prestasi tinggi Brabus.

Seperti mana model konsep, Smart #1 Launch Edition didatangkan dengan warna badan putih dan bumbung berwarna emas dengan corak berkotak unik. Grafik sama juga boleh dilihat pada rim aloi 19-inci.

Selain itu, Smart memilih dua rona warna pada rim dan kemasan kulit upholsteri kabin pada edisi khas dengan kos £39,450 (RM218, 662). 

Model Premium pula didatangkan dengan lampu utama LED matrik, 13 pembesar suara Beat, pad pengecas telefon tanpa wayar, kawalan kruise adaptif dan parkir autonomi.

Model asas Pro+ #1 yang dijual pada harga bermula £35,950 (RM199,263) didatangkan dengan sistem pencahayaan LED, skrin sentuh 12.8-inci, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, kerusi dengan ciri pemanas, kamera 360 darjah dan bumbung suria.

Model prestasi Smart Brabus #1 pula dijual pada harga bermula £43,450 (RM240,833) yang menampilkan kit badan penuh lebih sporty bersama tren kuasa 4×4.

Smart #1 dipasang dengan bateri 62kWh. Dengan isian bateri penuh ia mampu menawarkan jarak pemanduan sejauh 418km bagi model Pro+ dan 439km (Premium, Launch Edition) serta 391km (Brabus). 
 

Dengan keupayaan pengecas pantas 150kW, isian bateri 10-80 peratus boleh dilakukan dalam masa kurang daripada 30 minit, manakala pengecas AC 22kW mengambil masa tiga jam daripada isian 10-80 peratus.

Bateri tunggal seberat 1,820kg itu mampu menghasilkan kuasa 268bhp dan tork 343Nm. Pecutan 0-100kmj mampu dicapai dalam tempoh 6.7 saat dengan kelajuan maksimum 180kmj.

Sementara model Brabus menggunakan sistem dwi-motor berkuasa 422bhp. Pecutan 0-100kmj mampu dicapai dalam tempoh 3.9 saat.

DIMENSI

Smart #1 memiliki panjang 4.27 meter dan jarak roda 2.75 meter membantu memaksimumkan ruang lima penumpang di dalamnya. 

Smart mendakwa walaupun saiz #1 sama dengan MINI Countryman, terdapat banyak ruang di dalamnya seperti salun eksekutif Mercedes E-Class. #1 juga mempunyai ruang simpanan depan 15 liter dan but konvensional bersaiz 411 liter. 

CIRI PERALATAN

Kabin pula menempatkan skrin sentuh bersaiz 12.8-inci dan digital HD penuh 9.2 inci dan paparan kepala 10 inci.

Keupayaan pemanduan autonomi Tahap 2 hadir sebagai sebahagian daripada pakej Sistem Bantuan Pemandu Termaju merangkumi kawalan pelayaran adaptif dengan teknologi henti dan pergi, bantuan kekal lorong, titik buta, bantuan lebuh raya dan bantuan trafik, parkir automatik dan lampu depan pancaran tinggi adaptif bersama 7-beg udara. 

Smart #1 bersedia bersaing dengan kenderaan elektrik lain misalnya Hyundai Kona, Jeep Avenger dan Peugeot e-2008.

Volvo, rakan jenama Geely, akan menghasilkan SUV elektrik kecilnya sendiri pada platform yang sama, dan Smart akan diletakkan sebagai alternatif yang lebih murah kepada model itu.

Pelanggan UK boleh membuat tempahan secara online atau melalui rangkaian pengedar . Setiap kereta tiba dengan waranti 8 tahun, 160,934km untuk rangkaian kuasa elektrik.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here