Perodua beri jaminan pensijilan UN-R95 yang diberikan kepada Perodua Axia adalah utuh, selain selamat untuk dipandu dan tiada penarikan balik akan dikeluarkan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, Perodua terbabit dengan Daihatsu Co Ltd untuk menjalankan ujian keselamatan untuk Axia baharu di Jepun, yang disaksikan oleh pihak berkuasa dan agensi berkaitan untuk penilaian masing-masing.
“Apabila kami menerima berita mengenai “ketidakteraturan prosedur” oleh Daihatsu, kami segera menghubungi badan-badan ini untuk menentukan sama ada standard keselamatan Perodua Axia yang terjejas.
“Kami diberi jaminan bahawa walaupun pendedahan oleh Daihatsu, pensijilan UN-R95 yang diberikan kepada Perodua Axia adalah utuh.
“Ini bermakna Perodua Axia selamat untuk dipandu dan tiada penarikan balik akan dikeluarkan serta tidak akan menghentikan penghantaran model baharu ini kepada pelanggan,” katanya.
Sebelum ini, Daihatsu, anak syarikat Toyota membuat pengakuan memanipulasi keputusan ujian kemalangan ke atas 88,000 kereta yang dikeluarkan di Thailand dan Malaysia dan dijual dalam tempoh setahun lalu.
Isu itu melibatkan model Toyota iaitu Yaris Ativ dan Agya serta Perodua Axia yang dikeluarkan oleh usahasama dengan Malaysia dan sebuah lagi kenderaan yang dibangunkan Daihatsu. Klik di sini untuk baca lanjut.
Zainal Ahmad berkata, pihaknya memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami pelanggan mengenai perkara itu dan mahu memastikan bahawa maklumat keselamatan dan spesifikasi semua model kami disahkan oleh badan profesional.
Menurutnya, Perodua akan terus memantau keadaan itu dan akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai perkara berkenaan pada masa akan datang.
Katanya, pihaknya mengutamakan keselamatan dan keselesaan pelanggan di atas segala-galanya dan Perodua akan terus melakukannya sebagai sebahagian daripada amalan melangkaui apa yang diharapkan.