Ramai yang mengambil kesempatan menziarah sanak saudara jauh mahupun dekat sempena sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
Seperti mana seorang pemilik akaun Facebook Razis Ronnie ini yang berkongsi perjalanan hari raya bermula dari Johor Bahru. Bahkan perjalanan sejauh 2,760km itu turut melibatkan seluruh negeri di Semenanjung.
Memandu Perodua Bezza, kos minyak yang dikeluarkan oleh Razis sebanyak RM344.69 dan tol RM85.90.
“Ada Tol Rahmah, guna laluan lama dan pesisir pantai. Contoh dari Gurun – Gerik – Jeli – Kota Bharu – Kuala Terengganu – Kuantan – Mersing – JB,” tulisnya.
Jelasnya, hanya mengeluarkan perbelanjaan makan di restoran di negeri yang tiada keluarga mahupun saudara. Selebihnya dia makan di rumah saudara di beberapa negeri.
Kos makan dan minum yang dikeluarkan Razis sekitar RM565.02.
Dia mengunjungi rumah saudara di Gombak, Bukit Lanchong dan Sijangkang, Pulau Pinang dan Muadzam Shah, Kuantan.
Razis berkongsi keadaan trafik tidaklah sesak teruk yang mana hanya berlaku di beberapa lokasi tertentu.
“Jalan jem tapi tak teruk sangat di Jalan Changkat Jering, Lebuhraya Alor Setar/Georgetown, Jalan Salor-Pasir Mas dan Jalan Kota Bharu-Backhok. Alhamdulillah lain tempat semua lancar.
“Laluan paling mencabar dan bahaya kali ni; Lebuhraya Gerik – Jeli tapi bila sampai puncak rehat dan rawat Amiza Titiwangsa. Subhanallah view nya sangat cantik,” kongsinya.
Jelasnya, laluan paling mempesonakan tentunya Marang-Kemaman-Dungun kerana melalui pesisir pantai.
Itu bukanlah kali pertama Razis melakukan ‘roadtrip’ raya, tahun lalu dia turut menjelajah seluruh semenanjung ketika Aidilfitri.
Kembara berkenaan mengambil masa selama enam hari bertemakan baju raya hitam premium. Berdasarkan perkongsian Razis, kos keseluruhan yang dikeluarkan termasuk perbelanjaan ubatan dan mainan anak-anak adalah RM1,028.59.
Berikut perjalanan Razis sekeluarga:
- Johor Bahru
- Melaka: Bandar Melaka
- Negeri Sembilan: Bandar Seremban
- Putrajaya
- Kuala Lumpur – Gombak
- Selangor: Shah Alam, Bukit Lanchong & Sijangkang
- Perak: Teluk Intan
- Pulau Pinang: Georgetown & Bukit Mertajam
- Kedah: Gurun & Alor Setar
- Perlis: Padang Besar & Bandar Kangar
- Gerik – Jeli
- Kelantan: Bandar Kota Bharu
- Terengganu: Bandar Kuala Terengganu, Marang, Rantau Abang, Kemasik
- Pahang: Muadzam Shah & Bandar Kuantan
- Mersing & Johor Bahru