Seorang penunggang motosikal maut terkena petir di tepi jalan Kampung Seri Cheeding, Sungai Jarom, Banting, kelmarin.
Mangsa seorang lelaki tempatan ketika itu dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang di bandar Mahkota Banting pada jam kira-kira 6.20 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata mangsa berumur 50-an sedang melalui Jambatan Rimbayu ke Ladang Teh Seri Cheeding.
“Mangsa jatuh dari motosikal 50 meter ke depan daripada tempat kejadian dan tidak sedarkan diri.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian leher kanan, lebam di bahagian perut dan peha akibat kesan panahan petir dan terdapat luka di dagu dan lutut akibat jatuh dari motor,” katanya.
Orang awam yang melalui lokasi kejadian menghubungi Mers 999 dan bantuan ambulans selepas mengangkat mangsa ke tepi jalan.
Tambahnya, di lokasi kejadian terdapat dua kesan panahan petir di atas jalan raya. Bedah siasat telah dijalankan semalam dan mendapati punca kematian akibat terkena petir dan polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut.