Orang ramai boleh memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) sehingga 10 tahun berbanding lima tahun.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ia antara dua inisiatif pembaharuan LMM dilaksana Kementeriannya bermula 8 Mei ini di pejabat atau kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja.
“Mana-mana pemegang LMM yang memperbaharui untuk tempoh 10 tahun sekaligus akan dikenakan bayaran untuk tempoh 9-tahun sahaja.
“Maksudnya ada diskaun 10 peratus, untuk makluman bayaran lesen memandu adalah RM30 setahun. Jikalau membayar 10 tahun sekali gus bayaran yang akan dikenakan adalah RM270, penjimatan RM30,” jelasnya.
Inisiatif kedua adalah kebenaran khas pembaharuan LMM tamat tempoh. Beliau berkata, ia mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sepanjang pandemik dan kekangan rakyat Malaysia di luar negara yang tidak dapat memperbaharui lesen kerana tidak dapat pulang ke tanah air.