Seorang warga emas didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret, Gua Musang, semalam atas pertuduhan memandu secara tidak cermat hingga menyebabkan kemalangan melibatkan 15 mangsa, bulan lalu.
Tertuduh, U Hussim Uan Harun, 66, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Tuan Tengku Shahrizam Tuan Lah.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM7,000 atau tujuh bulan penjara sekiranya gagal membayar jumlah tersebut, selain mengarahkan lesen memandu tertuduh direkodkan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu secara tidak cermat atau tanpa perhatian munasabah sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain di simpang tiga di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, 2 petang, 10 April lalu.