Tindakan remaja lelaki bawah umur memandu kereta tanpa lesen dengan membawa ibu dan rakannya membawa padah apabila ditahan polis, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, polis mengesan video tular 32 saat yang memaparkan orang awam menahan sebuah kereta dipandu remaja berumur 13 tahun di Jalan Rozhan, Machang Bubuk, kira-kira jam 3 petang, kelmarin.
“Remaja itu memandu kereta sejauh kira-kira 4km dan gelagatnya dilihat orang awam menyebabkan mereka menahannya sebelum tular di media sosial.
“Ekoran video tersebut, polis menjejaki remaja itu dan menahannya di depan Flat Taman Machang Bubuk pada hari sama.
“Selain remaja yang memandu kenderaan itu, polis turut menahan ibunya berusia lewat 40-an dan rakan yang juga berusia 13 tahun yang berada dalam kereta ketika kejadian,” katanya.
Susulan itu, polis mengeluarkan tiga saman di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saman itu dikeluarkan mengikut Seksyen 26(1) kerana tiada lesen memandu, Seksyen 39(1) kerana memandu di bawah umur dan ibu suspek yang juga pemilik kereta disaman di bawah Seksyen 39(5) kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu,” katanya.
Terdahulu tular video berdurasi 32 saat memaparkan Proton Iswara Aeroback berwarna hitam yang dihentikan di tengah jalan dipercayai oleh orang awam.
Dalam insiden itu didapati seorang remaja lelaki dipercayai pemandu berada di luar kenderaan, manakala seorang lagi dipercayai rakannya berada di tempat duduk penumpang belakang.
Tonton video DI SINI.