Tiga beranak tak mengaku bergaduh selepas kemalangan

670

Tiga beranak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown atas pertuduhan melakukan gaduh gempar rentetan insiden kemalangan pada 8 Mei lalu.

Tertuduh Oo Teck Yeon, 55, Chuah Chew Ting, 54, dan Oo Cheng Sing, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Mohamad Azlan Basri.



Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa secara bersama melakukan gaduh gempar Jalan Loh Poh Heng, Tanjung Bungah iaitu tempat awam pada jam 11.20 pagi.

Semua tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Mohamad Azlan pada mulanya menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun peguam yang mewakili kesemua tertuduh, Zainal Akram Zainal Azahar berkata anak guamnya memohon jumlah itu dikurangkan kerana diberi jaminan polis pada 9 Mei lalu.

Tambahnya, tertuduh iaitu bapa bekerja sendiri manakala isterinya suri rumah dan anak lelaki mereka adalah guru swasta turut memberi kerjasama yang baik dengan hadir ke mahkamah hari ini.

Kesemua mereka tinggal di alamat sama di Persiaran Gurney. Mahkamah kemudiannya bersetuju menetapkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin bagi dan 11 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pada 12 Mei media melaporkan polis menahan enam individu bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan membabitkan ahli keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Tanjung Bungah.

Dalam kejadian yang tular di media sosial pada 8 Mei lalu itu, seorang penunggang motosikal wanita dilapor maut selepas dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here