Pemilik bengkel di Maran berimpian melihat pesawat ringan dibinanya dapat terbang di udara dan dia sendiri akan menerbangkan pesawat itu apabila siap kelak.
Mohd Zaki Zahari, 58, mengakui sedar bahawa impiannya itu hampir mustahil berikutan peraturan-peraturan berkaitan penerbangan di negara ini.
Namun bapa kepada tujuh anak tersebut berkata, dia tetap akan menyiapkan pesawat ringan jenis ‘Seaplane’ yang dibinanya sejak Mei tahun lalu kerana minat yang terlalu mendalam terhadap bidang aeroangkasa.
Dia sanggup berhabis puluhan ribu ringgit semata-mata mahu impiannya itu menjadi kenyataan malah sudah berbelanja kira-kira RM10,000.
“Saya anggarkan pesawat ini hampir 70 peratus siap namun tidak dapat menjangkakan bila boleh disiapkan sepenuhnya kerana bergantung kepada keadaan kewangan,” katanya kepada Harian Metro.
Idea membina pesawat ringan itu tercetus selepas hampir 34 tahun bergiat aktif dalam hobi bermain kapal terbang dan helikopter kawalan jauh (RC) malah sepanjang tempoh itu, sudah banyak model pesawat RC yang dibinanya menggunakan pelbagai bahan.
“Dari aspek teknikal, kapal terbang RC hampir sama dengan pesawat sebenar kerana kebanyakan model pesawat yang dibina menggunakan pelan pesawat sebenar dengan mengecilkan skala asal,” jelasnya.
Katanya, idea membina pesawat ringan itu tercetus selepas hampir 34 tahun dia bergiat aktif dalam hobi bermain kapal terbang dan helikopter kawalan jauh (RC) malah sepanjang tempoh terbabit, sudah banyak model pesawat RC yang dibinanya menggunakan pelbagai bahan.