PHS Automotive Malaysia (PHSAM) secara rasmi melancarkan tujuh model elektrik sepenuhnya Audi e-tron ke pasaran Malaysia.
Terdiri daripada model SUV, sportback dan coupé empat pintu, rangkaian e-tron dibina khas dengan reka bentuk dan prestasi terbaik. la nyata mengukuhkan identiti Audi sebagai perintis masa depan dan membuktikan kecanggihan teknologi Audi.
SUV yang menarik
08 e-tron, SUV menampilkan reka bentuk aerodinamik yang sangat efisien, rangkaian kuasa dioptimumkan dengan prestasi pengecasan lebih padu dan kapasiti bateri lebih tinggi, membolehkannya menawarkan jarak sehingga 582 km.
Ruang dalaman Q8 e-tron advanced 50 quattro dan Q8 e-tron Sline 55 quattro menawarkan pengalaman tempat duduk kelas pertama. Apabila kerusi penumpang belakang dilipat, ia mampu menawarkan ruang sehingga 1,725 liter.
Walaupun mempunyai ciri yang sama dengan model SUV, varian Q8 e-tron Sportback hadir dengan imej lebih sporty menerusi siluet yang elegan dan kemas untuk kecekapan aerodinamik terbaik.
Kenderaan coupe
Dengan reka bentuk emotif dan teknologi yang revolusionari, e-tron GT coupé yang memenangi anugerah telah mengintepretasikan semula idea klasik sebuah gran turismo.
Varian e-tron GT terdiri daripada RS e-tron GT yang ikonik, e-tron GT quattro dengan Dynamic Package dan e-tron GT quattro.
Jentera itu menjanjikan prestasi pemanduan dinamik, terima kasih kepada teknologi pacuan semua roda quattro elektrik yang revolusionari.
Malaysia negara pertama rantau ini lancar Q8 e-tron
Pengarah Urusan PHSAM, Erik Winter berkata, maklum balas daripada pengedar dan pelanggan terhadap Audi e-tron adalah sangat menggalakkan.
“Ini merupakan penawaran produk terbesar Audi di Malaysia dan kami sangat teruja untuk menjadi negara pertama di rantau ini melancarkan Q8 e-tron.
“Bukan itu sahaja, saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa ini hanyalah satu permulaan. Ini kerana kami sudahpun berusaha untuk membawa masuk lebih banyak model e-tron ke sini termasuklah flagship SQ8 dan Q6 e-tron yang akan membuat debut global hujung tahun ini,” katanya.
Harga jualan runcit yang dicadangkan untuk rangkaian model elektrik sepenuhnya Audi yang mewah adalah seperti berikut:
- Q8 e-tron advanced 50 quattro: RM383,990
- Q8 Sportback e-tron advanced 50 quattro: RM389,990
- Q8 e-tron S line 55 quattro: RM474,990
- Q8 Sportback e-tron S line 55 quattro: RM484,990
- e-tron GT quattro: RM587,990
- e-tron GT quattro dengan Dynamic Package: RM661,990
- RS e-tron GT: RM787,990
Semua model Audi e-tron hadir standard dengan jaminan tanpa had perbatuan selama dua tahun, jaminan bateri selama 8 tahun atau jarak sejauh 160,000km dan bantuan tepi jalan percuma selama 5 tahun.
Pelanggan boleh mendapatkan Pakej Jaminan Audi (Audi Assurance Package, AAP) yang menawarkan jaminan tambahan dan penyelenggaraan selama 3 tahun dengan selang servis 15,000km.
Percuma Pengecas Kompak e-tron dan Kredit JomCharge bernilai RM1,000 untuk pemilik e-tron
Bagi meningkatkan lagi pengalaman pemilikan, semua model didatangkan dengan e-tron Charging System Compact mudah alih untuk memberi kemudahan mengecas di mana-mana sahaja.
Sistem itu terdiri daripada satu unit pengecas kompak pintar dan kabel – pasang sahaja pada kereta dan ke soket standard di rumah dengan output 1.8 kW hingga 2.3 kW atau menerusi bekalan kuasa tiga fasa yang mempunyai output 11 kW.
Pengecasan boleh ditetapkan kepada 100 dan 50 peratus kuasa pada unit pengecasan bagi mengelakkan berlakunya masalah terlebih beban kepada sistem elektrikal rumah.
Sebagai manfaat tambahan, pemilik juga akan menerima kredit JomCharge berjumlah RM1,000 secara percuma dengan tempoh sah selama setahun.
Pengenalan MOON POWER di Malaysia
PHSAM bekerjasama dengan penyedia penyelesaian tenaga Eropah, MOON POWER untuk menyokong aspek pengecasan buat pemilik e-tron di negara ini.
MOON POWER ialah sebuah anak syarikat Porsche Holdings Salzburg (PHS) dan menandakan kemasukan pertama jenama itu di pasaran luar Eropah.
Pelanggan akan diberi pilihan untuk membeli pengecas wallbox MOON POWER berkapasiti 11 kW dan 22 kW bermula September 2023.
Setiap unit MOON POWER telah pun menjalani kawalan kualiti yang ketat demi memenuhi piawaian pengecasan dan keselamatan Audi.
Bagi persediaan pelancaran ini, kesemua tiga Audi Centre di Glenmarie, Setia Alam dan Juru telah dipasang dengan MOON POWER. Setiap Pusat ini menyediakan tiga unit pengecas AC 22 kW dan satu pengecas DC 180 kW.