Berapa bayaran bulanan Toyota Innova Zenix? Kami kirakan untuk anda…

7277

Semalam, UMW Toyota Motor rasmi memperkenalkan Toyota Innova Zenix ke pasaran tempatan.

Pesaing kepada Proton X90 ini ditawarkan dengan dua pilihan varian iaitu:

  • Toyota Innova Zenix 2.0 V : RM165,000
  • Toyota Innova Zenix 2.0 HEV : RM202,000

Tawaran harga berkenaan lebih mahal berbanding pesaingnya X90. Jadi berapakah bayaran bulanan yang perlu diperuntukkan bagi memiliki crossover yang diimport dari Indonesia ini. 



Di bawah, kami kongsi bulanan yang perlu dibayar oleh pemilik Innova Zenix mengikut kiraan kasar yang didapati dari laman web Toyota Malaysia. 

BAYARAN BULANAN ZENIX 2.0 V

Toyota Innova Zenix 2.0 V didatangkan dengan bentangan kerusi untuk lapan penumpang (termasuk pemandu). 

Varian ini menggunakan enjin pembakaran dalaman (ICE) 2.0 liter Dynamic Force 4-silinder DOHC yang menghasilkan kuasa 174PS @ 6,600rpm dan tork 188Nm @ 4,400-4,900rpm.

Penghantaran kuasa ke roda disalurkan menerusi transmisi CVT 10-kelajuan bersama shiftmatic berturutan.

Ciri peralatan yang membezakan varian ini dengan hibrid adalah  dilengkapi dengan lampu dome, tiada bumbung suria selain kerusi 8-penumpang.

Dijual pada harga RM165,000 seunit, berapakah ansuran bulanan yang perlu dibayar?. Pengiraan berdasarkan pinjaman sewa beli selama 9-tahun dan deposit 10 peratus.

Sekiranya pemilik menerima tawaran faedah pinjaman sewa beli sebanyak 2.75 peratus, ansuran bulanan adalah RM1,716 dengan jumlah pinjaman RM148,500.

Jika pelanggan memilih tempoh pinjaman lebih singkat iaitu 5-tahun, bayaran bulanan lebih tinggi iaitu kira-kira RM2,816.

BAYARAN BULANAN ZENIX 2.0 HEV

Bagaimana pula dengan bayaran bulanan varian hibrid?. Innova Zenix 2.0 HEV dijual pada harga RM202,000 iaitu tambahan sebanyak RM37,000 berbanding varian V.

Selain janakuasa hibrid, ciri tambahan yang ditawarkan pada varian HEV ini adalah bumbung suria dan kerusi kapten dengan bentangan kabin 7-penumpang.

Innova Zenix 2.0 HEV dilengkapi enjin 2.0 liter Dynamic Force 4-silinder DOHC yang menghasilkan kuasa 152PS @ 6,000rpm dan tork 188Nm @ 4,400-5,200rpm. Kemudian ia dipadankan dengan motor elektrik dengan output 113PS dan tork 206Nm.

Berapakah ansuran bulanan yang perlu dibayar?. Pengiraan adalah berdasarkan pinjaman sewa beli selama 9-tahun dan deposit 10 peratus.

Sekiranya pemilik menerima tawaran faedah pinjaman sewa beli sebanyak 2.75 peratus, ansuran bulanan adalah RM2,100 dengan jumlah pinjaman RM181,800. Jika pelanggan memilih tempoh pinjaman 5-tahun, bayaran bulanan kira-kira RM3,447. 

Sebagai perbandingan, bayaran ansuran bulanan bagi Proton X90 pula adalah RM1,586 bagi varian Premium 7-kerusi dan RM1,674 (Flagship 6-kerusi)- kiraan 9-tahun dan faedah pinjaman 3.5 peratus.

Kedua-dua varian Innova Zenix memiliki ciri peralatan yang sama di bahagian luaran dan dalaman misalnya sistem pencahayaan LED pada lampu depan, belakang, DRL dan kabus; cermin sisi boleh lipat automatik; antena shark fin; skrin TFT 7-inci dan skrin infotainmen 10.1 inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. 

GALERI

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here