Selepas rasmi membuka ibu pejabat di pasaran tempatan, akhirnya Tesla Malaysia bakal melakukan debut model pertamanya.
Menerusi akaun Instagram Tesla Malaysia, pengeluar kenderaan elektrik (EV) itu memberi bayangan bakal melancarkan produk pertama pada 20 Julai ini.
View this post on Instagram
Bagaimanapun, tiada info lanjut dikongsi menerusi hantaran pertama berkenaan. Malaysia merupakan negara rasmi ketiga di Asia Tenggara memasarkan Tesla selepas Singapura pada 2021 dan Thailand lewat tahun lalu.
Kemungkinan, Tesla bakal memperkenalkan Model Y dan Model 3 seperti mana yang diterima pasaran jiran Singapura dan Thailand.
Tambahan, 96 peratus daripada 479,700 kenderaan yang dikeluarkan Tesla pada suku kedua tahun ini adalah model berkenaan.
HARGA
Harga Model 3 di Singapura termasuk GST adalah SGD 76,340 (RM263,454) dan ditambah dengan yuran pendaftaran (ARF) iaitu SGD 70,928 (RM244,777). Ini menjadikan harga bagi varian asas Model 3 adalah SGD 147,268 (RM508,232).
Bagaimanapun, kerajaan Singapura menawarkan rebat bagi model EV termasuklah Enhanced Vehicular Emissions Scheme (VES) dan EV Early Adoption Incentive menjadikan pengurangan harga sebanyak SGD 45,000 (RM155,298).
Jadi, harga Model 3 adalah SGD102,268 (RM352,934). Namun, selepas ditukar kepada nilai mata wang tempatan, harga tersebut agak tinggi. Di Thailand pula, harga varian asas Model 3 adalah THB 1,759,000 (RM234,405).
Sementara itu, harga Model Y di Singapura pula adalah SGD87,990 (RM303,659). Manakala di pasaran Thailand pula harga bagi Model Y bermula dari THB 1,959,000 (RM261,058).
Berapakah harga kedua-dua model berkenaan apabila dilancarkan di Malaysia?.
Mengambilkira insentif EV yang diberikan kerajaan dan struktur harga negara Thailand, harga Model 3 bakal bermula dari RM270k manakala Model Y pula bermula dari RM300k.