Kia Niro EV dijual bermula RM255,888, CBU dari Korea Selatan!

450

Dinamikjaya Motors Sdn Bhd memperkenalkan crossover BEV, Kia Niro EV serba baharu generasi kedua untuk pasaran Malaysia.

Kia Niro EV serba baharu kini boleh ditempah secara rasmi dengan harga bermula RM255,888. Crossover itu diimport sebagai CBU dari Korea Selatan.

Luaran

Bahagian luarnya merangkumi ciri canggih yang diambil daripada kereta konsep HabaNiro 2019 Kia. Bahagian hadapan Niro EV menampilkan tandatangan Kia “Wajah Harimau” yang memanjang dari hud ke fender di bawah. 



Lampu nyalaan siang (DRL) yang menyerlah yang dikenali sebagai “degupan jantung” menambah rupa yang unik, selain dilengkapi skip plat dan cladding tebal pada bahagian sisi bagi meningkatkan lagi karakter crossover.

Profil sisi yang bergaya dan berani terdiri daripada badan dua tona berteknologi tinggi dengan Aero C-Pillar yang lebar di bahagian belakang, meningkatkan aliran udara untuk meningkatkan aerodinamik yang digabungkan dengan lampu belakang belakang berbentuk bumerang.

Ciri Active Air Flap dalam gril turut menyumbang kepada pencapaian 0.29 co-efficient (Cd) bagi Niro baharu.

Dalaman

Papan pemuka menggabungkan garisan mendatar yang membawa kepada estetika yang menenangkan melalui pencahayaan suasana ambien, tersedia dalam tidak kurang daripada 64 pilihan warna.

Dua skrin paparan digital definisi tinggi 10.25 inci yang bersambung dengan instrumen dan infotainmen sekali gus membuatkan lebih kemas. Infotainmen itu dilengkapi ciri Apple Carplay dan Android Auto, selain didatangkan pengecasan tanpa wayar.

Tempat duduk penumpang hadapan boleh bersandar pada postur baring yang sangat selesa dengan sentuhan butang. 

Port USB-C digabungkan pada sisi tempat duduk hadapan dan poket penyimpanan untuk manfaat penumpang tempat duduk belakang, manakala sandaran kepala tipis juga bertindak sebagai penyangkut jaket.

Ruang Lebih Luas

Dimensi Kia Niro serba baharu lebih besar daripada model sebelumnya, dengan panjang berukuran 4,420mm, lebar 1,825mm dan ketinggian 1,570mm. Oleh itu, jarak roda 2,720mm Kia Niro serba baharu menawarkan persekitaran yang luas untuk penumpang serta kapasiti penyimpanannya.

Niro EV menawarkan ruang storan kabin 475 liter. Bagaimanapun, ia boleh mencecah 1,392 liter apabila tempat duduk belakangnya dilipat.

Bahagian bonet hadapan, turut mempunyai ruang 20 liter untuk menyimpan kabel pengecas kenderaan yang bersesuaian dengan port pengecasannya di bahagian hadapan kenderaan.

Rangkaian Kuasa Dan Pengendalian

Kia Niro EV dikuasakan pek bateri lithium-ion 64.8 kWh, menawarkan 201hp dengan dan tork maksimum 255 Nm. Kelajuan maksimumnya ialah 167 km/j dengan pecutan dan 0 – 100 km/j hanya 7.8 saat.

Jentera elektrik itu boleh dipandu kira-kira 460 kilometer dengan sekali cas. Niro EV boleh dicas sehingga 10 kepada 80 peratus dalam masa 43 minit menggunakan pengecasan pantas DC. 

Pengendaliannya juga lebih baik dengan menggunakan suspensi topang Macpherson di hadapan, manakala four-link type set-up untuk bahagian belakang.

Kedua-dua geometri hadapan dan belakangnya ditala untuk responsif, kestabilan dan keselesaan pemanduan dengan nisbah gear stereng yang dioptimumkan.

Teknologi Keselamatan Termaju

Ia dilengkapi ciri ADAS yang lengkap termasuk Lane Following Assist (LFA), Smart Cruise Control (SCC), Lane Keeping Assist (LKA) dan banyak lagi.

Ciri keselamatan standard Kia Niro EV termasuk 8 beg udara SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD), Safe Exit Assist (SEA) iaitu sistem bantuan secara automatik memberikan amaran jika kenderaan menghampiri dari bahagian belakang dikesan dalam titik buta. Ia juga dilengkapi Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC), Sistem Kawalan Traksi (TCS) dan ISOFIX.

Bagi memberi ketenangan ketika pemilikan jentera ini, ia ditawarkan lima tahun atau 150,000km Jaminan Pengeluar, manakala lapan tahun atau 160,000 untuk bateri.

Tiga warna ditawarkan

  • Snow White Pearl
  • Mineral Blue
  • Cityscape Green

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here