Seorang lelaki maut dipercayai dirempuh kereta api di Kampung Tanjong, Pasir Mas pada Khamis.
Mayat mangsa, Muhamad Aqil Irfan Izwan, 23, ditemui pada jam 4.30 pagi di lokasi.
Bapanya, Izwan Yusof, 51, berkata, dia mengetahui mengenai kejadian yang menimpa anak ketiga daripada lima beradik itu pada jam 7.30 pagi selepas dimaklumkan oleh adik iparnya.
“Sejurus tiba di lokasi saya dapati arwah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan sudah tidak bernyawa.
“Kali terakhir saya berjumpa dengan anak dua hari lalu, ini kerana arwah tinggal bersama datuknya,” katanya.
Menurutnya, kali terakhir Muhamad Aqil Irfan berhubung dengan abangnya, Muhamad Zuhairi, 28, yang tinggal di Johor pada Rabu.
Ujarnya, Muhamad Zuhairi memberitahu adiknya itu menghantar pesanan menerusi aplikasi WhatsApp untuk meminta maaf.
Izwan memberitahu, arwah berbuat demikian kerana tidak sempat berjumpa abangnya yang bertolak pulang ke Johor.
“Jenazah arwah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chengal, Kampung Jejulok selepas bedah siasat dijalankan,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.