Peminat tegar drift, tentunya mengenali Keiichi Tsuchiya. Beliau bukan sahaja dikenali sebagai Drift King bahkan cukup terkenal dengan pemanduan touge (merentasi pergunungan).
Toyota AE86 Sprinter Trueno atau “Hachi-Roku” (86) begitu sinonim dengan figura asal Jepun itu. Cara pemanduan drift Keiichi juga memberi inspirasi seluruh dunia selama tiga dekad.
Selain itu, sukan pemotoran drift tersebut berkembang seluruh dunia merentasi Asia, Eropah, Asia Tenggara dan lain-lainnya.
Sekiranya anda berminat untuk memulakan langkah dalam sukan drift, jentera apakah yang sesuai?. Tentunya barisan jentera JDM, ini kerana masing-masing mempunyai ciri unik tersendiri yang sesuai dengan gaya pemanduan anda.
Berikut, kami senaraikan lima jentera JDM terbaik untuk drift:
TOYOTA 86
Senarai teratas tentunya Toyota 86 yang mana angka 86 itu begitu sinonim dengan anime Initial D. Bukan sahaja memenuhi jangkaan pemandu, namun ia salah satu kereta sport pengendalian paling tulen pada generasi ini.
Sekiranya anda memilih 86, pertukaran enjin adalah perkara biasa dalam sukan ini. Selalunya, pemandu akan memilih enjin 2JZ atau LS untuk mendapatkan kuasa tambahan.
Bahkan, casis jentera itu juga mampu mengendalikan jumlah kuasa yang gila dan masih menawarkan pengendalian mantap yang sesuai untuk mofidikasi.
Prestasi:
- 0-100kmj: 7.6 saat
- Kelajuan maksimum: 225kmj
- Berat: 1,298kg
- Kuasa: 197hp
- Tork: 205Nm
- Enjin/Pacuan: Depan/belakang
NISSAN 350/370Z
Nissan 370Z salah satu jentera terbaik cuma ia dibayangi dengan kejayaan supercar GT-R. Nissan Z merupakan senjata pilihan pelumba drift, Chris Forsberg ketika beliau tiga kali menjuarai Kejohanan Formula Drift.
Potensi 370Z sebagai jentera talaan juga terbukti apabila pasukan Forsberg berjaya memasang enjin VK56 dan menghasilkan lebih 1,000hp.
Prestasi:
- 0-100kmj: 5.3 saat
- Kelajuan maksimum: 251kmj
- Berat: 1607kg
- Kuasa: 332hp
- Tork: 366Nm
- Enjin/Pacuan: Depan/belakang
TOYOTA SUPRA
Sama ada A80 atau BMW-esque A90, Toyota Supra adalah model prestasi yang terbukti dalam bidang drift. Sepanjang karier sukan drift, Fredric Aasbo menggunakan Supra secara meluas dalam Formula Drift.
Bukanlah sesuatu yang mengejutkan, ini kerana kereta sukan itu memiliki casis yang seimbang, pacuan roda belakang dan enjin 6-silinder berkuasa.
Prestasi:
- 0-100kmj: 4.9 saat
- Kelajuan maksimum: 249kmj
- Berat: 1570kg
- Kuasa: 276hp
- Tork: 363kg
- Enjin/Pacuan: Depan/belakang
MAZDA RX-8
Mazda RX-8 tidak begitu menyerlah ketika pertama kali dikeluarkan. Reputasinya tidaklah sebagus RX-7 kerana berat, kuasa yang rendah dan penggunaan minyak yang tinggi.
Cuma, satu perkara yang ‘positif’ tentang RX-8 ialah ia mengekalkan casis pengendalian yang hebat, sesuai untuk melakukan beberapa aksi ‘sideways‘. Tambahan pula, RX-8 mempunyai banyak potensi sebagai kereta talaan.
Prestasi:
- 0-100kmj: 6.5 saat
- Kelajuan maksimum: 233kmj
- Berat: 1373kg
- Kuasa: 232 hp
- Tork: 293Nm
- Enjin/Pacuan: Depan/belakang
NISSAN CEFIRO
Pada asasnya, Cefiro A31 adalah setara dengan Toyota Chaser. Ia memiliki jarak roda yang panjang, pacuan roda belakang dan didatangkan dengan enjin RB legenda Nissan.
Apa yang menjadikan kereta ini hebat ialah beberapa bahagian Cefiro A31 boleh ditukar dengan Skyline misalnya brek, LSD, dan sudah tentu trenpacuan RB yang mana menawarkan pengalaman prestasi yang hampir mirip Skyline dalam versi lebih murah.
Prestasi:
- 0-100kmj: 6.8 saat
- Kelajuan maksimum: 190kmj
- Berat: 1,359kg
- Kuasa: 200hp
- Tork: 255Nm
- Enjin/Pacuan: Depan/belakang