Honda WR-V, sebenarnya menggunakan platform BR-V bukannya City

513

Dalam tempoh lima tahun, permintaan kenderaan segmen SUV meningkat sehingga 25 peratus untuk pasaran di Malaysia.

Bagi memenuhi permintaan itu, semua pengeluar termasuk Honda menawarkan kenderaan segmen berkenaan dari saiz besar, pertengahan dan kini terbaru iaitu paling kecil, Honda WR-V.

Honda WR-V yang dilancarkan di negara ini, sebenarnya mengambil masa enam tahun untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D). Ia adalah kenderaan yang dibangunkan untuk negara Asean dan kini sudah dijual di Indonesia, Thailand serta Malaysia.



Ia juga boleh dikatakan sangat sesuai dengan keadaan jalan, fungsi, penggunaan dan cuaca untuk negara kita.

Ketua Projek Honda WR-V, Poychat Ua-arayaporn berkata, WR-V berkongsi platform dengan Honda BR-V, cuma dipendekkan dengan panjangnya dikurangkan.

Menurutnya, pada bahagian hadapan ia menggunakan platform sama seperti BR-V, tetapi selebihnya hingga belakang adalah baru yang perlu dibangunkan semula.

“WR-V ini berkongsi rangkaian kuasa dengan Honda City (1.5 L), tetapi sistem transmisi CVT sudah ditala semula.

“Ia menggunakan nisbah gear terakhir yang lebih besar, untuk memberi tindak balas pemanduan terbaik, selain dilengkapi ciri step shift seakan-akan ada penukaran gear berlaku,” katanya.

Menurutnya, spesifikasi WR-V untuk pasaran Malaysia adalah sama dengan di Thailand, cuma di negara ini mempunyai ciri tambahan iaitu pelaras lampu hadapan.

Kenderaan Cekap Tenaga (EEV)

Ketika ditanya perkara paling sukar dalam pembangunan WR-V, Poychat memaklumkan untuk mencapai sasaran tahap penggunaan bahan api yang mengikut piawaian Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) di Malaysia berbanding negara lain.

“Bila kita bermula pembangunan WR-V, EEV adalah sasaran dan kami mengambil serius untuk menyelesaikan masalah itu.

“Jadi untuk tahap penggunaan tahap bahan api, WR-V ini boleh mencapai 17 kilometer untuk seliter petrol,” katanya.

Sementara itu, selepas sebulan dibuka tempahan, Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) menerima 2,500 unit tempahan untuk Honda WR-V yang akan dilancarkan pada esok.

Ia ditawarkan dengan empat varian yang mana spesifikasi paling tinggi iaitu RS diikuti V, E dan S.

Tempahan varing paling banyak adalah RS dengan 45 peratus, diikuti varian V (38 peratus), varian E (12 peratus) dan varian paling rendah iaitu S (tujuh peratus).

Tempoh menunggu untuk bakal pemiliknya untuk menerima SUV paling kecil daripada Honda itu dijangka dalam tempoh sebulan setengah bagi 2,500 tempahan berkenaan.

Berdasarkan spesifikasi, Honda WR-V menggunakan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC piawaian Euro 4 yang mana menyalurkan 121PS dengan tork setinggi 145Nm. Tenaga itu disalurkan ke transmisi CVT.

Baca juga artikel berkaitan:

>> Ini beza dimensi Honda WR-V vs Perodua Ativa

>> Honda WR-V 2023: Ini jawapan kami sekiranya anda mahu memiliki SUV terbaharu Honda itu

Untuk makluman, nama Honda WR-V ini sebenarnya bukan baharu dalam SUV jenama Honda. Ini kerana untuk pasaran India, ia sudah diperkenalkan sebelum ini.

Bagaimanapun, WR-V yang dijual untuk pasaran Asean termasuk Malaysia adalah berbeza dengan apa yang dijual di India. Jadi untuk pasaran Malaysia, Honda WR-V ini adalah generasi pertama.

Buat masa ini, Honda Malaysia Sdn Bhd masih lagi tidak mengumumkan harga rasminya. Tunggu sahaja pada majlis pelancarannya esok.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here