Suri rumah yang membuat laporan polis palsu kononnya diragut, didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah, hari ini.
Tertuduh, Hafeeza Syuhada Abdul Rahim, 37, dari Bandar Seri Jempol mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati membuat laporan polis palsu mendakwa disamun di tepi Jalan Juasseh, Kuala Pilah oleh dua lelaki.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh jam 1.51 tengah hari, 11 Julai lalu di Balai Polis Kuala Pilah.
Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan dan denda sehingga RM2,000, atau kedua -duanya sekali.
Mahkamah juga mengarahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Peh Fong Xi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.