Dua beranak maut manakala seorang lagi cedera apabila kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori muatan kayu di KM37, Jalan Gua Musang-Jeli, Gua Musang, semalam.
Dalam kejadian sekitar 6.15 petang itu, mangsa, Mohd. Zuki Mohamed Ali, 55, yang juga pemandu ambulans Hospital Gua Musang, cedera pada bahagian kepala, badan dan putus tangan kanan.
Anak lelakinya, Muhammad Hasbullah, 15, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama (A) Maahad Muhammadi Gua Musang, maut di tempat kejadian selepas cedera pada bahagian kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, Mohd. Zuki memandu Proton Saga dengan membawa dua anaknya iaitu Muhammad Hasbullah dan Muhamad Huzaifah, 18.
Ketiga-tiga beranak itu sedang dalam perjalanan dari arah Gua Musang menuju ke Jeli.
“Semasa tiba di laluan sedikit berselekoh, kereta tersebut dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori jenis Isuzu yang membawa muatan kayu.
“Kejadian itu menyebabkan Mohd. Zuki dan Muhammad Hasbullah yang berada di tempat duduk belakang maut di lokasi kejadian kejadian,” katanya.
Choon Foo memberitahu, Muhammad Hasbullah yang berada di tempat duduk penumpang depan mengalami kecederaan pada bahagian dada.
“Pemandu lori tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat dua beranak itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang di sini untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan ahli keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya.