Dua individu gaduh gara-gara pintu kereta calar sudah berdamai

505

Seorang individu yang dipercayai terlibat dalam pertengkaran gara-gara kereta miliknya didakwa tercalar di sebuah kawasan perumahan di Bandar Sunway telah menarik balik laporan polis dan menyelesaikan secara baik. 

Individu itu berkongsi kenyataan tersebut menerusi akaun Facebook, semalam.



“Kes yang viral tadi telah selesai, permohonan maaf telah dibuat beliau dan saya menarik balik laporan polis yang saya buat sebelum ini.

“Harap menjadi pengajaran kepada semua dan saya harap hentikan kecaman di semua platform media sosial, move on, tq (terima kasih) semua,” tulisnya. 

Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata pihaknya menerima dua laporan polis daripada kedua-dua pihak warga tempatan yang terlibat pada 31 Julai jam 5.49 petang.

“Hasil siasatan, kejadian berpunca daripada pintu motokar yang dibuka terkena pintu kereta yang berada di sebelah.

“Disebabkan kejadian itu, berlaku pertelingkahan mulut antara kedua-dua pihak. Bagaimanapun, tiada kerosakan dan kecederaan yang dialami. 

“Kedua-dua pihak menyelesaikan perselisihan faham dengan cara baik dan tidak mahu memanjangkan siasatan insiden yang berlaku,” katanya menerusi siaran media yang dikeluarkan.

Semalam, tular di media sosial kejadian melibatkan beberapa individu termasuk pasangan suami isteri akibat perselisihan faham yang berlaku di parkir kereta kawasan perumahan di Sunway.

Video itu menunjukkan lelaki berkenaan menjerit  kepada mangsa menggunakan perkataan kurang sopan.

Difahamkan kejadian berlaku apabila suami isteri itu tiba dan meletakkan kenderaan mereka bersebelahan kereta mangsa tersebut, sebelum wanita itu bertindak membuka pintu dengan kuat.

Mangsa kemudiannya bertindak menegur perbuatan berkenaan dan wanita itu memohon maaf atas perbuatannya.

Bagaimanapun, mangsa kemudian terdengar wanita tersebut mendakwa kereta milik mangsa diletakkan terlalu hampir dengan kereta dinaikinya. 

Pertengkaran mula tercetus apabila mangsa kemudian sekali lagi menegur perbuatan itu mengakibatkan suami wanita itu menghampiri kenderaan mangsa sebelum berlakunya pertengkaran antara kedua mereka.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here