Sebuah kereta elektrik (EV) Chevy Bolt terbakar secara tiba-tiba di jalan masuk rumah pemilik.
Pihak bomba mengambil masa kira-kira tiga jam menggunakan lebih 41,600 liter air untuk memadamkan api.
Bagaimanapun, insiden tersebut kebarangkalian boleh dielakkan sekiranya pemilik membaiki bateri Chery Bolt menerusi kempen panggil balik yang diumumkan GM pada 2021.
Pihak pengeluar melaksanakan kempen tersebut selepas beberapa kereta pemilik terbakar akibat bateri yang rosak.
Dalam kes ini, pemilik tersebut memberitahu kereta masih belum dibaiki kerana pihak pengeluar tidak memiliki stok bateri.
“Mereka tidak mempunyai bateri untuk diberikan kepada kami, jadi kami menunggu,” katanya.
Pada awal kempen, GM mengumumkan akan menggantikan keseluruhan pek bateri Bolt EV yang dikeluarkan antara 2017 dan 2022.
Namun, pengeluar itu mengubah pendiriannya tahun ini dengan melakukan pemasangan perisian untuk memantau keadaan bateri.
Kebakaran berlaku sekitar jam 4.15 pagi di rumah pemilik yang terletak di Great Hill Estates, Wareham, Amerika.
Pasukan bomba berjaya memadamkan api di peringkat awal namun bateri lithium ion memercikkan api 30 minit kemudian.
Pemilik menjelaskan telah mengecas Bolt berkenaan dan menanggalkan plug. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dalam insiden itu.
“Kenderaan ini tidak diletakkan di garaj, jika tidak boleh menjadi lebih bencana besar, mujur pemilik meletakkan kereta di jalan masuk,” kata Ketua Komander, John Kelley.