Seorang pemuda berkongsi momen bahagia membeli sebuah kereta elektrik (EV) buat teman wanitanya.
Youtuber bernama Dashen dengan pengikut 460,000 itu memilih Ora Good Cat sebagai kereta pertama wanita berkenaan.
“Kadang-kadang, agak susah bila nak keluar sebab saya perlu jemput dia. Dah rasa macam pemandu,” kata Dashen dalam nada gurauan.
Dia kemudiannya mengunjungi bilik pameran GWM untuk pandu uji EV berkenaan. Tentunya dia mencari model yang feminin khas buat kekasihnya.
Bagaimanapun, Dashen tidak menanggung kos penuh yang mana dia hanya membayar wang pendahuluan RM100,000 dan selebihnya perlu dilunaskan wanita berkenaan.
“Miki tidak tahu saya pergi ke bilik pameran untuk menempah kenderaan itu minggu lalu. Di pihak saya, saya akan membantunya membayar RM100,000 untuk bayaran pendahuluan supaya dia tidak perlu membuat pinjaman tinggi dengan bank.
“Ini bagi mengurangkan bebanan kewangan dia, saya tidaklah beri secara percuma saya mahu dia belajar tentang tanggungjawab dan menjadi lebih dewasa,” jelasnya.
Selain itu, kereta berkenaan dibeli atas namanya sebelum memindahkan hak milik kepada Miki kerana ingin menyembunyikan kejutan tersebut.
Dashen berkata apabila pihak GWM mengetahui hasratnya, pihak pengedar turut serta dalam kejutan itu dengan melakukan penghantaran kereta dalam kotak hadiah lutsinar.
“Apa yang awak nampak? ‘Miki Tew, saya sayang awak.’ Awak nampak tak?”, antara mesej yang ditulis pada kotak penghantaran berkenaan.
GWM Malaysia secara rasminya memperkenalkan Ora Good Cat ke pasaran Malaysia hujung tahun lalu.
Pasaran Malaysia menerima dua pilihan varian iaitu:
- ORA Good Cat 400 Pro: RM139,800
- ORA Good Cat 500 Ultra: RM169,800